SPRM buka kertas siasatan isu KFA

SPRM buka kertas siasatan isu KFA

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan membuka kertas siasatan awal berhubung beberapa isu membabitkan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) seperti yang didedahkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap berkata, kertas siasatan itu dibuka bagi mengesahkan beberapa maklumat diterima pihaknya sebelum ini.

“Kita sebenarnya telah melakukan tindakan awal dan semalam ada satu laporan diterima iaitu maklumat yang disampaikan oleh Pemuda PAS Negeri.

“Siasatan akan dijalankan berhubung perkara itu dan tentunya kami akan menilai terlebih dulu jika wujud sebarang kesalahan di bawah akta melibatkan bidang kuasa SPRM,” katanya seperti dilapor Kosmo.

Shaharom Nizam berkata, setakat ini belum ada saksi dipanggil berhubung perkara tersebut.

“Segalanya masih di peringkat awal dan saya harap tiada mana-mana pihak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara ini,” katanya.

Terdahulu Exco Sukan, Mohd Firdaus Ahmad dalam sidang DUN pada Selasa lalu mendedahkan beberapa isu membabitkan pengurusan terdahulu KFA.

Antara isu didedahkan Mohd Firdaus termasuk jumlah sebenar kutipan tabung Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berkaitan perpindahan Akhyar Rashid ke JDT, penajaan pasukan serta pembayaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Sebagai reaksi kepada pendedahan tersebut, bekas Setiausaha Kehormat KFA, Mohd Asmirul Anuar Aris kemudiannya mencabar mana-mana pihak termasuk Presiden KFA ketika ini, Muhammad Sanusi Md. Nor bagi membuat laporan kepada pihak berkuasa.-Malaysiapost

Komen