Annuar ajak Asyraf Wajdi ‘face to face’

Annuar ajak Asyraf Wajdi ‘face to face’

Fitri Nizam

NAK tunjuk hebat biarlah bertempat, kata Tan Sri Annuar Musa kepada Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu turut mencabar Asyraf Wajdi bersemuka dan mempersoalkan kenyatannya secara terus seperti dilakukan Naib Ketua Pemuda Umno.

“Nak tunjuk hebat biarlah bertempat. Nak sedap lagi jom ‘face to face’ macam naib ketua pemuda Umno… tanya direct (terus),” katanya dalam satu hantaran Facebook sebentar tadi.

Beliau berkata, tiada sesiapa di dalam rakaman wawacara Umno Online yang dihoskan Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan Sufian yang mengatakan ‘PAS beri kata dua’.

“Nah, saya tayang sekali lagi. Ada ke sesiapa sebut soal ‘PAS beri kata dua’?

“Kalau tak ada kenapa sendiri reka sendiri komen?,” katanya sambil memuatnaik video rakaman wawacara terbabit.

Asyraf Wajdi malam tadi memuat naik hantaran di Facebook sambil menolak dakwaan Annuar yang mendakwa PAS tidak akan bersama Umno tanpa Bersatu sebagai rakan sekutu.

“Tidak timbul langsung soal PAS beri kata dua tidak mahu kerjasama dengan Umno tanpa Bersatu. Saya berada dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Annuar turut menyindir Timbalan Pengerusi Umno Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang menyifatkan beliau sebagai tokoh politik yang sudah ‘mati’ dalam perjuangan Umno.

“Ada yang kata saya dah mati dalam Umno, kalau begitu Alhamdulillah. Yang penting saya mati dalam Islam dan syukur jika saat itu saya kekal ahli Umno.

“Setidak-tidaknya saya masih mampu beri satu kerusi Parlimen dan DUN untuk Umno.
“Ada yang hidup di negeri kuat Umno tapi gagal sumbang kerusi untuk Umno, pedih kan? You ask for it! (Kamu yang minta!),” katanya.

Mengulas isu sama, Ahmad Jazlan seperti dilaporkan FMT hari ini berkata, Annuar sudah ‘mati’ namun masih enggan melompat ke parti lain.

“Dia ‘dah mati’ dalam Umno tetapi tak mahu lompat ke Perikatan Nasional (PN),” katanya. – Malaysiapost

Komen