Covid-19: Selangor catat kes tertinggi

Covid-19: Selangor catat kes tertinggi

KES harian Covid-19 di Malaysia kekal empat angka apabila mencatatkan 1,041 kes baharu hari ini,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, daripada jumlah itu hanya dua kes import, menjadikan keseluruhan 53,679 kes positif Covid-19 direkodkan di Malaysia setakat ini.

“Kes baharu itu bagaimanapun lebih rendah berbanding 1,405 kes sembuh hari ini, iaitu tertinggi pernah direkodkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Selangor mencatat kes baharu tertinggi iaitu 402 kes dengan 346 dari kluster sedia ada, 17 dari kluster baharu iaitu Kluster Jalan Harapan, 19 saringan kontak rapat dan 20 lain-lain saringan.

“Diikuti Sabah iaitu 346 kes, Negeri Sembilan (121), Kuala Lumpur (68) dan Johor (33),” katanya.

Sementara itu, katanya, Kelantan yang baru saja dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mencatatkan tujuh kes baharu.

Sebanyak tiga kematian baharu hari ini termasuk seorang bukan warganegara, semuanya di Sabah sekali gus menjadikan keseluruhan 332 kematian di Malaysia. – Malaysiapost

Komen