Jumlah kes baharu di Sabah dijangka naik mendadak

Jumlah kes baharu di Sabah dijangka naik mendadak

SABAH dijangka mencatatkan peningkatan mendadak kes baharu Covid-19 selepas hasil ujian saringan di dua lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) diperoleh.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata saringan masih dilakukan di Telipok dan Kampung Numbak di Kota Kinabalu.

Katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) masih membuat saringan di kedua-dua penempatan yang mempunyai penduduk padat iaitu sekitar 21,000 orang, lapor Berita Harian.

Sementara itu, beliau berkata, kadar pematuhan penduduk Sabah terhadap prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hampir mencapai 100 peratus.

“Kadar pematuhan SOP PKPB ialah 97.93 peratus yang mana empat daerah iaitu Kota Kinabalu, Kinabatangan, Sipitang dan Kota Belud mencapai tahap kadar pematuhan 99 peratus,” katanya.

Hari ini mencatat 346 kes baharu Covid-19 dan tiga kematian masing-masing di Keningau, Kudat dan Lahad Datu. – Malaysiapost

Komen