Kes ketuk pintu di Sabak Bernam dipercayai bukan angkara manusia

Kes ketuk pintu di Sabak Bernam dipercayai bukan angkara manusia

Nilam Oshman

KES ketukan pintu misteri tengah malam di beberapa kampung di Sabak Bernam yang menimbul panik dan ketakutan penduduk, dipercayai bukan perbuatan manusia.

Salah seorang pengasas Paranormal Sungai Besar, Emie Shuib memberitahu Malaysiapost pihaknya membuat kesimpulan itu berikutan tiada kesan dari manusia seperti tapak kaki mahupun jejak haiwan.

Katanya, pelbagai spekulasi timbul bukan saja dalam kalangan penduduk, malah netizen susulan kisah misteri itu tular di media sosial, menyebabkan pihaknya mengambil beberapa langkah merungkainya.

“Antaranya berjumpa orang yang pandai dan mempunyai ilmu tentang mistik ini. Kami difahamkan ia bukan perbuatan ‘orang minyak’ kerana spesies hantu itu terus memecah masuk rumah, bukan ketuk pintu.

“Orang yang memiliki ilmu mistik ini beritahu tindakan ketuk pintu itu dilakukan ‘orang pelepas ilmu’ tapi tujuannya tak pasti lagi.

“Mungkin dah sampai orang itu nak uji jin dia ke, cari pewaris ke… dia nak pelepas ilmu dan mungkin terkait sama dengan entiti iaitu pocong,” katanya.

Beliau menambah sepanjang pengalaman mengamalkan aktiviti paranormal, ia kemungkinan pocong kerana ia tidak perlu guna asap kemenyan, cukup sekadar panggil.

Katanya, ada individu dipanggil ‘wak’ memberitahu hal itu berlarutan selama tiga hari saja.

“Mungkin malam ini atau malam tadi dah berhenti, sekiranya ia pelepas ilmu. Namun jika benda ini masih berlarutan hari keempat dan seterusnya, polis akan buat tindakan lebih drastik dan mungkin ia perbuatan manusia seperti khianat,” katanya.

Emie berkata, dia dan pasukannya akan membuat tinjauan dan siasatan lebih lanjut malam ini, iaitu malam ketiga.

“Malam ini akan cuba lagi (kesan pihak bertanggungjawab), dua tiga pasukan akan turun membantu,’ katanya.

Semalam media melaporkan penduduk Sabak Bernam digemparkan dengan bunyi misteri ketukan pintu yang agak kuat sehingga mengejutkan mereka.

Ketukan yang masih menjadi tanda tanya penduduk itu berlaku di beberapa kampung sekitar daerah itu sejak kelmarin.

Bunyi ketukan itu menimbulkan persoalan dan misteri dengan pelbagai ulasan daripada netizen, antaranya mendakwa ada individu tidak bertanggungjawab sengaja melakukan perbuatan itu hingga tular menerusi aplikasi WhatsApp dan laman sosial Facebook.

Gangguan ketukan itu berlaku pada waktu malam hingga awal pagi dan membabitkan beberapa kampung seperti Kampung Batu 38, Kampung Tengah dan Kampung Banting. – Malaysiapost

Komen