Lebih banyak negeri ikut langkah Wilayah Persekutuan, haramkan arak

Lebih banyak negeri ikut langkah Wilayah Persekutuan, haramkan arak

KERAJAAN tidak menolak kemungkinan lebih banyak negeri akan mengikut langkah Wilayah Persekutuan untuk mengharamkan penjualan arak di kedai runcit dan serbaneka mulai tahun depan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary menyifatkan tindakan Wilayah Persekutuan itu bertepatan dengan tuntutan agama dan masyarakat.

“Ia bukan sahaja menepati tuntutan agama bahkan masyarakat, tidak kira orang Islam atau bukan Islam. Memang ada segelintir suara tidak setuju, tetapi ia tetap mendatangkan banyak kebaikan.

“Kalau arak mudah didapati dan dibeli di kedai runcit, itu yang mendorong banyak perkara lain yang lebih negatif, contohnya kes pemandu mabuk yang langgar orang sampai mati, sedangkan orang tersebut tidak berdosa.

“Ini strategi kerajaan yang holistik dan perlu didokong oleh rakyat. Tidak kira agama, bangsa dan fahaman politik. Kita tidak menolak kemungkinan akan bawa ke tempat lain berdasarkan komen positif masyarakat,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Beliau berkata demikian selepas Program Inspirasiku MyHaus dan FoodBank di bawah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di Kampung Parang, Kota Bharu hari ini.

Ahad lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperkenalkan garis panduan baharu mengenai lesen minuman keras.

Antaranya menetapkan kedai runcit dan serbaneka tidak lagi dibenarkan menjual produk minuman keras mulai 1 Oktober tahun depan. – Malaysiapost

Foto kredit : Berita Harian

Komen