Masih ramai ingkar penjarakan fizikal

Masih ramai ingkar penjarakan fizikal

POLIS semalam menahan 455 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 427 individu telah dikompaun manakala 27 pula direman dan seorang dijamin.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (206), aktiviti pusat hiburan (72),
tidak memakai pelitup muka (63).

“Selain itu, gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (59), rentas negeri/daerah PKPB tanpa kebenaran (21) dan lain-lain (34),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata semalam juga pasukan keselamatan menerusi Operasi Benteng telah menahan 28 pendatang asing tanpa izin (PATI), seorang penyeludup serta merampas tiga kenderaan darat.

“Sebanyak 306 Sekatan Jalan Raya (SJR) Operasi Benteng dilaksanakan semalam yang melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (242), polis (54) dan Agensi Kawalan Sempadan Negara (10).

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutama di lorong-lorong tikus,” katanya. – Malaysiapost

Komen