PAS, Umno, Bersatu tak akan bertembung lawan PH

PAS, Umno, Bersatu tak akan bertembung lawan PH

DEWAN Pemuda PAS menegaskan tidak akan berlaku pertembungan semasa Umno, PAS dan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketuanya, Ir Khairil Nizam menerusi hantaran di Facebooknya berkata, ia antara perkara yang diputuskan mesyuarat Jawatankuasa Induk Perundingan Muafakat Nasional (MN), Rabu lalu.

Bagi memastikan tidak bertembung sesama sendiri, katanya, PAS, Umno dan Bersatu akan berbincang soal pembahagian kerusi agar pertandingan satu lawan satu dengan Pakatan Harapan (PH) bagi setiap kerusi.

Selain itu, beliau berkata, jawatan kuasa itu juga menyatakan Ahli Parlimen Umno akan memberikan sokongan tanpa syarat ke atas Belanjawan 2021 yang dibentangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Terdahulu, Khairil mengucapkan terima kasih kepada Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang memberi penjelasan berhubung dakwaan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa bahawa PAS tidak akan bersama Umno tanpa Bersatu sebagai rakan sekutu.

“Saya juga bersama beliau di dalam pertemuan tersebut (mesyuarat Jawatankuasa Induk Perundingan MN).

Alhamdulillah, kami (mPAS dan Umno di landasan yang betul, memperkasa MN dan mempertahankan kerajaan PN,” katanya.

Asyraf Wajdi sebelum itu berkata dakwaan Annuar berhubung perkara itu tidak tepat kerana keputusan Jawatankuasa Induk Perundingan MN telah bersetuju untuk mendaftarkan MN antara Umno dan PAS sebagai parti teras mewakili Bumiputera, Melayu dan Islam.

“Tidak timbul langsung soal PAS beri kata dua tidak mahu kerjasama dengan Umno tanpa Bersatu. Saya berada dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk MN,” katanya. – Malaysiapost

Komen