Penghuni Medan 88 ‘ghaib’, tiga lagi serah diri

Penghuni Medan 88 ‘ghaib’, tiga lagi serah diri

TIGA lelaki warga Indonesia menyerah diri hari ini, selepas ‘hilang’ selama 10 hari selepas Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Mereka dipercayai melarikan ketika ujian saringan Covid-19 di lokaliti tersebut pada 12 November lalu.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata berikutan itu jumlah penduduk yang menyerah diri setakat ini adalah 43 orang, lapor Harian Metro.

Beliau berkata, ia membabitkan 32 lelaki dan 11 wanita manakala warga Indonesia adalah mojiriti yang tampil berbuat demikian bagi membolehkan mereka menjalani saringan.

Katanya, warga tempatan pula seramai 14 individu iaitu 11 lelaki dan tiga wanita, selain tujuh warga Thailand serta masing-masing seorang warga India, Mynmar dan Nepal.

“Seramai 448 penduduk sudah menjalani ujian saringan sejak PKPD diadakan sehingga Khamis dan 53 daripadanya disahkan positif Covid-19 termasuk 44 individu yang disaring sebelum PKPD,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sepang, Mohamad Zain A Hamid, berkata 400 penghuni di lokaliti itu tidak pulang ke kediaman masing-masing.

Jumlah itu diperoleh melalui rakan dan jiran selepas polis mengepung kawasan itu sebelum PKPD dilaksanakan.

Kawasan itu dihuni sekitar 800 penduduk dan pihak berkuasa mengesan mereka yang ‘ghaib’ melalui rakan sebilik, jiran serta aplikasi MySejahtera. – Malaysiapost

Komen