Semua tahu Mahathir punca PH jatuh – Fuziah

Semua tahu Mahathir punca PH jatuh – Fuziah

TUN Dr Mahathir Mohamad adalah punca kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH), kata Ketua Wanita PKR, Fuziah Salleh.

Beliau berkata, ia berikutan tindakan Ahli Parlimen Langkawi tersebut meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada Februari lalu, sebelum tertubuhnya kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Umum tahu dan semua ingat bahawa PH jatuh sebab PM ketika itu Dr M letak jawatan dan tak mahu serah kuasa kepada Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim),” katanya menerusi ciapan di Twitter hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan Dr Mahathir hari ini yang mendakwa peletakan jawatan beliau Perdana Menteri tiada kena mengena dengan cadangan PH supaya Anwar memgambil alih selepas beliau letak jawatan.

Dr Mahathir berkata kegagalan Anwar untuk menjadi Perdana Menteri, bukan disebabkan dirinya sebaliknya Presiden PKR itu tidak cukup sokongan.

Menjelaskan secara panjang lebar bermula daripada rentetan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dipimpinnya, Dr Mahathir sekali lagi menegaskan bahawa PH tumbang susulan ‘langkah Sheraton’.

Beliau berkata, pengumuman parti lamanya, Bersatu untuk meninggalkan PH bersama kumpulan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyebabkan dirinya tidak lagi mempunyai majoriti dalam Dewan Rakyat.

Justeru, Dr Mahathir berkata, beliau mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Bersatu dan Perdana Menteri.

Razeef Rakimin (kiri)

Sementara itu, Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah, Razeef Rakimin berkata Dr Mahathir seperti biasa terus menuding jari kepada semua pihak terhadap sebarang masalah.

“Hari ini sekali lagi beliau menuding jari kepada Presiden PKR dan kali ini berkaitan isu kegagalan mengambil alih kerajaan yang dipilih oleh rakyat daripada kerajaan “pintu belakang” PN.

“Umum mengetahui Mahathir juga dalang utama “Langkah Sheraton” apabila cuba menubuhkan kerajaan “Melayu/Islam” tanpa PKR, DAP dan Amanah.

“Ini susulan pendedahan beberapa Ahli Parlimen PN termasuk rakaman audio beliau sendiri yang bocor dan tersebar luas. Namun kerana tersalah langkah Muhyiddin berjaya mencantas beliau,” katanya. – Malaysiapost

Komen