Tanpa saya pun, Anwar masih tak jadi PM – Tun M

Tanpa saya pun, Anwar masih tak jadi PM – Tun M

Fitri Nizam

TUN Dr Mahathir Mohamad menjelaskan bahawa kegagalan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri, bukanlah disebabkan dirinya sebaliknya Anwar tidak cukup sokongan.

Menjelaskan secara panjang lebar bermula daripada rentetan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dipimpinnya, Dr Mahathir sekali lagi menegaskan bahawa PH tumbang susulan ‘langkah Sheraton’.

Beliau berkata, pengumuman parti lamanya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk meninggalkan PH bersama kumpulan Datuk Seri Azmin Ali menyebabkan dirinya tidak lagi mempunyai majoriti dalam Dewan Rakyat.

Justeru, Dr Mahathir berkata, beliau mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Bersatu dan Perdana Menteri.

“Peletakan jawatan Perdana Menteri oleh saya tidak ada kena mengena dengan cadangan PH supaya Anwar ambil alih jawatan Perdana Menteri selepas saya letak jawatan,” katanya dalam blognya Chedet.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, walaupun beliau diketepikan dalam usaha untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin namun Anwar masih belum menjadi Perdana Menteri.

Menurutnya, ketika perlucutan jawatan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Muhyiddin masih kekal sebagai Perdana Menteri apabila mendapat 112 sokongan.

“Kemudian Anwar isytihar dia sudah dapat cukup bilang dan Muhyiddin sudah tidak jadi Perdana Menteri. Kumpulan saya ditolak oleh Anwar kerana dia sudah dapat jumlah sokongan yang mencukupi.

“Tetapi kita semua tahu bahawa Anwar masih tidak dapat jadi Perdana Menteri.

“Kenyataan Anwar bahawa dia mempunyai cukup bilang didapati tidak benar. Dalam perancangan Anwar saya tidak ada tempat. Jelas setelah ketepikan saya pun Anwar tidak menang,” katanya.

Dr Mahathir turut bertanya pada tahun 2008 ketika Anwar mengumumkan mempunyai majoriti untuk mengambil alih kerajaan namun gagal ‘Apakah saya juga yang menghalang Anwar?’.

Anwar dalam satu wawacara bersama Malaysia Gazette sebelum ini dilaporkan berkata beliau terpaksa sekali lagi memilih jalan sendiri selepas merasa dikhianati oleh Dr Mahathir.

“Saya 2016, dia (Dr Mahathir) datang, saya oklah. Terus, lupakanlah, kita sambung, selamatkan negara, kerana rasakan sakit hati, tersingggung, tercuit ada sebagai manusia.

“Tapi kepentingan negara mengatasi. Tapi ulang, ulang, ulang konspirasi dan khianat tak bolehlah. Jadi saya sekarang tak apalah, biarlah, teruslah, jadi saya jalan ikut jalan sayalah,” katanya. – Malaysiapost

Komen