Tolak tawaran Al-Azhar demi minat jadi penyampai radio

Tolak tawaran Al-Azhar demi minat jadi penyampai radio

Nurul Huda Abhar

SIAPA sangka di sebalik suara yang mula berkumandang di corang radio di Terengganu lebih 24 tahun lalu, menyimpan sejarah pengorbanan yang sangat besar buat tuan empunya diri.

Pemilik suara latar bertaraf antarabangsa, Datuk Tuan Asmawi Tuan Umar, 45, tidak pernah menyesal menolak tawaran pengajian ke Universiti Al-Azhar, Mesir, lantaran minat mendalam untuk meneruskan kerjaya sebagai penyampai radio.

“Pada 1996 saya menolak tawaran ke Universiti Al-Azhar dek kerana keinginan untuk menjadi penyampai radio masih lagi tinggi.

“Oleh kerana bahasa Inggeris saya baik, kaunselor kolej terdahulu pernah beri tawaran melanjutkan diploma lanjutan terus ke peringkat Master di luar negara. Itu juga saya tolak, saya tidak mahu pergi ke mana-mana.

“Saya mohon universiti dalam negara sahaja dalam Pengajian Bahasa Arab. Saya diterima masuk ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan ketika itu juga saya dapat tawaran jadi penyampai radio Kuala Lumpur, jadi saya teruskan kerjaya saya,” katanya kepada Malaysiapost.

Bagi anak kelahiran Besut, Terengganu ini, pengalaman bergelar pelajar dan dalam masa sama mengendalikan segmen rancangan radio kampus serta meneruskan kerjaya sebagai penyampai radio bukan perkara mudah.

Malah, berbekalkan pengalaman berkhidmat di radio Terengganu membolehkan beliau berkongsi ilmu dengan rakan-rakan radio kampus yang lain, walaupun bukan mengambil jurusan komunikasi.

Menyentuh bermulanya kerjaya sebagai penyampai suara latar atau ‘voice over’ (VO), beliau berterima kasih kepada rakan-rakan di radio Terengganu yang mula memberi ruang kepadanya membuat VO bagi iklan dan segmen dokumentari radio.

“Kisah lucu yang tidak pernah saya kongsi, dulu saya berlatih suara dengan memakai helmet. Tapi akhirnya cita-cita saya terbayar kini.

“Kerjaya VO bermula 1997. Saya banyak hantar ‘voice reel’ di syarikat produksi. Malah masa itu pernah ada yang tanya awak orang Terengganu macam mana boleh cakap KL (Kuala lumpur)? Memang saya ingat sampai sekarang,” ujarnya.

Kemuncak kerjaya VO

Kemuncak kerjaya suara latar beliau apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ingin menggunakan suaranya dalam video memperkenalkan kad pengenalan baharu iaitu ‘MyKad’ versi Bahasa Arab.

“Itu VO pertama saya dalam bahasa Arab. Ia momen indah bagi saya, ibarat ‘anak sulung’ kerana seperti pingat kemenangan bagi saya.

“Saya juga pernah buat alih suara untuk filem Jurassic Park yang ditayangkan di Doha, sedikit sebanyak kerjaya suara latar mengubah kehidupan,” katanya.

Tuan Asmawi banyak membuat VO dalam bahasa Arab

Sebelum ini, tular rakaman video seorang individu merakam Tuan Asmawi membaca doa selepas azan di laman sosial Facebook, malah netizen tidak menyangka suara yang tiap kali berkumandang di televisyen adalah miliknya.

Sehingga kini, beliau masih mendapat tawaran tinggi untuk membuat VO dalam versi Bahasa Melayu, Inggeris, Arab dan Jawa.

Selain itu, beliau kini bergelar Penasihat Media dan Agama, Persatuan Pengguna Islam Malaysia dan turut menganggotai berapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain. – Malaysiapost

Komen