Polemik menziarahi pusara di musim perayaan

Polemik menziarahi pusara di musim perayaan

Aiman Hanif

Bila tiba musim perayaan, isu menziarahi pusara atau pun kubur menjadi polemik sehinggakan ada sesetengah pendapat mentafsirkannya sebagai haram.

Alasannya, haram dan syirik bagi umat Islam “menyembah kubur”. Menyembah dan menziarahi kubur adalah dua perkara berbeza.

Menziarahi kubur tidak haram dan apatah lagi ditegah dalam Islam. Ziarah kubur, berdoa pada si mati mengingatkan kita kepada kematian yang akhirnya menguntumkan keinsafan.

Bahkan Nabi Muhammad SAW menggalakkan umatnya supaya menziarahi kubur bagi mengingati kematian.

Bagaimanapun, menziarahi kubur pada hari raya bukan satu kewajiban, kubur boleh diziarah pada bila-bila masa.

Cuma bagi umat Islam di negara kita, menziarahi pusara sinonim pada hari raya.

Selagi mana tujuan menziarahi pusara itu tidak bercanggah dengan syarak, selagi itu ia dibenarkan. Melainkan tujuannya untuk melakukan perkara syirik ia semenangnya ditegah.

Begitu juga dengan perselisihan pendapat tentang menanam atau meletakkan bunga di pusara ataupun batu sungai di kawasan kubur.

Ia adalah mengikut perbuatan yang dilakukan oleh Rasul SAW, baginda meletakkan pelepah tamar lembap di kuburan bagi meringankan urusan si mati.

Dengan asas tanaman yang hidup ataupun batu yang hidup sentiasa bertasbih kepada Allah SWT dan si mati juga turut mendapat manfaatnya.

Begitu juga dengan soal binaan di kuburan ada perincian di dalam kitab fiqh, ada yang haram, makruh dan harus.