1MDB: Goldman Sachs setuju bayar AS$3.9 bilion

1MDB: Goldman Sachs setuju bayar AS$3.9 bilion

Kerajaan Malaysia mencapai persetujuan dengan Goldman Sachs, bank pelaburan global, untuk membayar AS$3.9 bilion (RM16.6 bilion) bagi penyelesaian tuntutan tertunggak berkaitan skandal 1MDB.

Penyelesaian itu merangkumi pembayaran tunai AS$2.5 bilion (RM10.63 bilion) dan jaminan untuk pengembalian penuh berjumlah sekurang-kurangnya AS$1.4 bilion (RM5.95 bilion) dari segi aset yang berkait dengan hasil yang diseleweng melalui tiga urus niaga bon berkenaan.

Kementerian Kewangan menjelaskan jumlah jumlah penyelesaian itu adalah peningkatan besar dari tawaran AS$1.75 bilion oleh Goldman Sachs kepada kerajaan pada 2019.

“Penyelesaian ini adalah pengakuan bersalah oleh Goldman Sachs berhubung tindakan dua bekas kakitangannya dalam skema untuk menipu 1MDB dan tidak akan menggugat tuntutan Malaysia terhadap Jho Low dan individu lain dalam skandal tersebut,” kata kementerian itu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin turut menyambut baik penyelesaian yang dicapai kerajaan Malaysia dengan Goldman Sachs.

Beliau berkata dana 1MDB yang akan dikembalikan kepada Malaysia secara keseluruhannya berjumlah RM19 bilion (AS$4.5 bilion) termasuk dana yang dipulangkan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) sebelum ini.

Tambahnya, kerajaan komited untuk meneruskan usaha mendapatkan semula aset-aset lain berkaitan 1MDB dan meneruskan tuntutan-tuntutan terhadap individu dan pihak yang berkaitan dengan skandal penyelewengan tersebut.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kewangan, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional dan pasukan perunding atas usaha mereka mencapai penyelesaian ini.

“Ini adalah satu kejayaan dalam usaha mengembalikan hak dan harta rakyat Malaysia,” katanya lagi.