3 episod salah langkah, Saifuddin perlu letak jawatan

3 episod salah langkah, Saifuddin perlu letak jawatan

Muhammad Mustakim Ramli

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah perlu meletak jawatan selepas melakukan tiga episod ‘salah langkah’ termasuk berhubung ketetapan syarat pelesenan filem di bawah undang-undang, kata Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.

Katanya, penjelasan Saifuddin mengenai kenyataannya sebelum ini di Dewan Rakyat masih gagal menjawab persoalan utama ditimbulkan mengenai apakah Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) 1981 akan dikenakan untuk pengguna media sosial.

“Saya kira, selepas tiga episod ‘salah langkah’ sejak dilantik menjadi menteri iaitu pertama; pelantikan Eric Paulsen ke Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia, yang ditarik balik selepas dipertikaikan pelbagai pihak.

“Kedua; pembatalan peruntukan spektrum 700MHz, 900MHz dan 2600MHz selepas dipertikai pelbagai pihak dan ketiga isu lesen Finas, jadi sudah tiba masanya YB Menteri Komunikasi dan Multimedia letak jawatan,” katanya menerusi kenyataan.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil


Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, bagaimanapun berkata kontroversi berhubung isu itu dapat dielak sekiranya Saifuddin menyatakan dengan jelas sama ada pengguna media sosial di platform berasaskan video seperti TikTok akan dikenakan syarat lesen atau tidak.

“Jawapan yang dipohon mudah: ya atau tidak. Sekali lagi, ia tidak dijawab,” katanya.

Mengenai pendirian terbaharu Saifuddin, Fahmi berkata ia hanyalah sekadar untuk meredakan kemarahan netizen.

“Saya berpandangan kenyataan terbaru YB Menteri ini berniat ‘mencari jalan keluar’ untuk meredakan kemarahan netizen.

“Dan paling malang, kenyataan beliau ini sebenarnya masih tidak menyatakan dengan jelas bahawa lesen Finas tidak diperlukan oleh pengguna media sosial di pelantar seperti TikTok, YouTube, dan sebagainya,” katanya.