Di mana nilai bahasa Melayu di mahkamah?

Di mana nilai bahasa Melayu di mahkamah?

Nilam Oshman

Menyedihkan apabila ada rakyat Malaysia kini lebih mengutamakan bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu. Itu hakikat yang perlu diakui.

Perkara ini turut berlaku di mahkamah kerana walaupun ada akta dan pekeliling menyatakan bahasa Melayu adalah bahasa digunakan dalam setiap prosiding, malangnya sesetengah hakim dan peguam mengambil mudah dan memandang enteng hal tersebut.

Peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz membangkitkan isu itu menerusi Facebook beliau baru-baru ini, antara lain bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai terutama bakal peguam dan hakim agar tidak sewenang-wenang memperlecehkan bahasa Melayu.

Mohd Khairul Azam.

“Sebagai aktivis Perlembagaan Persekutuan, saya rasa ada sesuatu tidak kena di peringkat awal lagi, sepatutnya bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan adalah bahasa yang wajib digunakan di mahkamah.

“Jadi, sepatutnya hakim-hakim bertegas dengan penggunaan bahasa Melayu, isu ini sudah lama tetapi tidak dikuatkuasakan,” katanya ketika ditemui Malaysia Post di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohd Khairul Azam berkata, punca kuasa pertama adalah Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahasa Melayu adalah bahasa Kebangsaan.

Mohd Khairul Azam.

Katanya, Perkara 152 (4) pula menyatakan selepas 10 tahun kemerdekaan, bermula 1967 sehingga diperuntukan selainnya oleh Parlimen, maka segala prosiding di mahkamah hendaklah dalam bahasa Inggeris dengan syarat mahkamah dan peguam bagi kedua-dua pihak bersetuju keterangan diambil dalam bahasa yang digunakan saksi tidak perlu diterjemah atau direkodkan dalam bahasa Inggeris.

“Dengan pernyataan Perlembagaan ini, jangan terus anggap bahasa mahkamah adalah bahasa Inggeris. Tidak! Oleh sebab itu, pada tahun 1963/67 kerajaan melalui Parlimen memperkenalkan Akta Bahasa Kebangsaan.

“Ia bermaksud yang Perlembagaan tadi sudah tak pakai. Selepas 10 tahun, Parlimen telah meluluskan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, peruntukan pindaan kepada Seksyen 8 telah diwartakan pada 25 Mac 1990 ini menyatakan bahawa bahasa mahkamah,” katanya.

Jelasnya, segala prosiding dalam Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi atau mana-mana mahkamah rendah hendaklah dalam bahasa kebangsaan, jadi bermakna bahasa mahkamah adalah bahasa Melayu.

“Kecuali demi kepentingan keadilan maka bahasa-bahasa selain dari bahasa kebangsaan boleh digunakan, namun bahasa Melayu wajib digunakan.

Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

“Contohnya, warganegara asing dari Filipina yang didakwa di sini atas apa-apa kesalahan, dia tak fasih berbahasa Melayu, perbicaraan boleh dilakukan dalam bahasa Filipina yang diterjemah kepada bahasa Inggeris. Penggunaan bahasa lain bergantung pada situasi tertentu,” katanya.

Beliau berkata, selain daripada akta, negara ini mempunyai Pekeliling Hakim Besar Malaya No.2/1990 bertarikh 29 Mei 1990 yang ditulis secara jelas oleh Tan Sri Datuk Hashim Yeop Sani yang merupakan Hakim Besar Malaya pada ketika itu.

Katanya, pelaksanaan penggunaan bahasa Malaysia di mahkamah iaitu peruntukan pindaan pada Akta Kebangsaan diwartakan pada 25 Mac 1990, maka penggunaan bahasa Malaysia dalam semua prosiding mahkamah berkuat kuasa dengan rasminya 1 Jun 1990 di Semenanjung Malaysia.

“Sehubungan itu, pindaan telah dibuat kepada Kaedah 162 Kaedah-Kaedah Mahkamah Agung 1980, Aturan 92 Kaedah-Kaedah Mahkamah tinggi 1980 dan Aturan 53 Kaedah-Kaedah Mahkamah Rendah 1980.

“Pindaan ini untuk memperkemas pelaksanaan penggunaan bahasa Malaysia di Mahkamah, ia diselaraskan dalam bahasa Melayu yang dijadikan bahasa utama di mahkamah seperti saman, afidavit dan semua dokumen berkaitan.

“Tan Sri juga ada mengingatkan kepada hakim dan majistret supaya mematuhi peruntukan Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang mendaulatkan bahasa Malaysia sebagai bahasa di mahkamah,” katanya.