Di sebalik legenda terbilang, Datuk Sharifah Aini

Di sebalik legenda terbilang, Datuk Sharifah Aini

Nurul Huda Abhar

Tanggal 5 julai lalu, genap enam tahun pemergian wanita bersuara emas, Datuk Sharifah Aini akibat jangkitan paru-paru di Pusat Perubatan Pakar Damansara, Kuala lumpur.

Pemergiannya dirindui. Alunan merdu suara biduanita negara itu melantunkan lagu Kenang Daku Dalam Doamu sangat mengusik jiwa pendengar.

Sekitar majlis pengebumian biduanita Datuk Sharifah Aini di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada 5 Julai 2014.

Biarpun enam tahun berlalu, kenangan bersama beliau masih utuh dalam memori khususnya wartawan hiburan yang dulu sering menulis aktiviti Allahyarham atau lebih mesra disapa Kak Pah.

Mengakui sungguh berasa kehilangan, Penolong Pengarang Hiburan Berita Harian, Raja Nurfatimah Mawar Mohamed terbayang seperti baru semalam mengusap tangan gebu dan mulus milik penyanyi kesayangan ramai itu.

Memulakan kerjaya sebagai wartawan hiburan seawal umur 19 tahun, Raja Nurfatimah senang mengikuti semua aktiviti dan persembahan Kak Pah terutama sempena sambutan Hari Ibu.

Wartawan Hiburan Berita Harian, Raja Nurfatimah Mawar.

“Saya ini umpama pelapor tetap Kak Pah. Ini kerana sepanjang melaporkan berita hiburan saya sering bersama Kak Pah dan semasa ditugaskan di meja jenayah pula hangat kes arwah dan Datuk Siti Nurhaliza,” katanya kepada Malaysia Post.

Menyingkap kenangan sebagai insan rapat dengan pemilik lagu Hatiku Dicuri Lagi, Raja Nurfatimah berkata antara paling dingati adalah sikap arwah yang meraikan kenalan dan tidak membezakan wartawan yang membuat liputan programnya.

Biarpun menyanyikan pelbagai jenis lagu dan menghasilkan 93 album, termasuk tujuh berbahasa Inggeris, tidak wujud secebis sikap meninggi diri dalam kamus perjalanan karier insan hebat ini.

“Kak Pah sangat suka meraikan rakan-rakan media, kenalan rapat beliau. Memang kerap arwah membuat jamuan makan dan semestinya semua itu daripada air tangan Sharifah Aini sendiri.

“Sepanjang mengenali arwah, beliau seorang yang tidak pandai melukakan hati orang lain. Tidak kira sesesiapa pun akan dilayan dengan baik. Susun atur percakapan dan tingkah laku yang tertib amat saya kagumi dan menjadi contoh sehingga kini,” ujarnya.

Sebagai wartawan yang sempat memasuki ruang hospital selepas Allahyarham menghembuskan nafas terakhir, Raja Nurfatimah tidak dapat lupa gambaran lautan manusia yang menunggu di luar kawasan hospital untuk mengetahui perihal pemergian penyanyi kesayangan ramai tersebut.

Meskipun ralat kerana dua minggu sebelum pemergian biduanita negara tersebut, arwah meyakinkannya bahawa beliau akan pulih kerana penyakitnya sudah 85 peratus sembuh.

“Bayangkan penuh orang di luar kawasan hospital semasa saya keluar ziarah jenazah. Saya pun terkejut melihat ramai orang yang datang, rakan wartawan dan peminat menunggu dalam keadaan sedih.

“Jujur saya menangis tak henti-henti semasa pertemuan kami yang terakhir. Terbayang arwah memandang saya dengan pandangan sayu. Kebetulan hati saya tergerak untuk menoleh ke arahnya sambil melambaikan tangan. Itulah lambaian terakhir kami,” katanya.

Kenangan indah bersama Kak Pah turut dikongsi seorang lagi individu yang tidak asing lagi dalam dunia wartawan hiburan, Huzz, menyifatkan lagenda Sharifah Aini adalah penyanyi, isteri, ibu dan wanita yang sangat berdisplin serta teliti dalam setiap perkara.

Mengimbau detik bersama arwah, terpancar sifat keibuan dan isteri mithali dalam dirinya terutama semasa menguruskan keperluan suami, anak-anak dan rumah tangga.

Wartawan hiburan, Huzz.

“Saya sangat mengenali arwah, saya sering singgah ke kediaman beliau untuk bertanya khabar. Peribadi insan bernama Sharifah Aini adalah sangat menghormati suami dan menyediakan segala keperluan suaminya sendiri.

“Dia yang akan membersih, menggosok pakaian suaminya. Layanan arwah pada suami sangat tertib dan menyediakan makanan untuk keluarganya sendiri walaupun sudah mempunyai pembantu rumah,” katanya.

Sering mengikuti sesi rakaman lagu dan persembahan Kak Pah, Huzz menyatakan biduanita itu sangat profesional dan bersungguh-sungguh dalam menjayakan sesebuah lagu.

Perbincangan dan sesi bertukar pendapat sentiasa dilakukan bersama komposer bagi memastikan lagu yang dihasilkan berjaya dan dekat di hati pendengar.

“Selalu dia akan bawa saya ikut bersama pergi rakaman. Selepas itu dia akan bawa saya pusing-pusing menaiki kereta sambil dia menyanyikan lagu baharu yang selesai dirakam. Itu antara kenangan bersamanya,” ujarnya.

Sisi peribadi yang ramai tidak ketahui adalah penyanyi berdarah kacukan Melayu-Arab itu gemar bersedekah dan membuat amal jariah bersama anak-anak tahfiz dan orang kurang berkemampuan.

Tidak pernah terkecuali beliau memberi bantuan keperluan seperti pakaian dan sejadah untuk sekolah tahfiz dan madrasah di samping kenduri kesyukuran yang disertai anak-anak tersebut.

Menurut Huzz lagi, keperibadian penyanyi yang sudah dianggap sebagai keluarga itu adalah atas didikan nenek arwah yang mahu beliau menjadi wanita tertib, menjaga pergaulan dan nama baik keluarga.

“Saya masih ingat kata-kata arwah. Beliau beritahu semasa kecil neneknya sangat garang dan sering dicubit. Sesudah dewasa beliau mengetahui mengapa dan menasihati anak-anak supaya sentiasa hormat orang tua.

“Jika saya mahu ceritakan semua kenangan tentang Sharifah Aini, mungkin tidak boleh kerana memori bersama arwah sangat banyak. Cuma saya ingin katakan Datuk Sharifah Aini adalah legenda terbilang yang patut dikenang,” tutupnya.