Eyka Farhana model pakaian jenama Akhyar

Eyka Farhana model pakaian jenama Akhyar

Muhammad Mustakim Ramli

Nampaknya, pemain bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Akhyar Rashid tidak perlu lagi ‘pening’ atau bersusah payah mencari model perempuan bagi memperagakan pakaian jenama AR The Nineteen miliknya.

Menerusi perkongsian di akaun Facebook rasminya, Akhyar Rashid official, pemain kebangsaan itu memuat naik gambar bersama kekasihnya, Eyka Farhana dengan memperagakan tshirt Bogezo iaitu produk pakaian terbaharu yang dihasilkan di bawah label AR The Nineteen.

Namun setakat ini, harga bagi tshirt yang memaparkan teddy bear pada bahagian hadapan baju itu belum dinyatakan secara terperinci di akaun Facebook berkenaan.

Berdasarkan semakan di akaun media sosial berkenaan, ini kali pertama Eyka Farhana menjadi model bagi jenama AR The Nineteen sejak Akhyar mula menjalankan perniagaan menjual pakaian pada tahun lalu.

Antara jenis pakaian jenama AR The Nineteen yang dijual menerusi atas talian itu adalah kurta, tshirt lengan panjang, jersi sempena Bulan Sukan Negara dan hoodie.

Sebelum ini, Akhyar bukan sahaja menjadikan dirinya sendiri sebagai model, malah menjadikan abangnya iaitu bekas pemain bola sepak Kedah, Rafdi dan kakaknya yang juga pemain sepak takraw kebangsaan, Nurashidah sebagai model pakaian jenama AR.