Jinakkan Najib tak semudah Anwar

Jinakkan Najib tak semudah Anwar

Muhammad Afiq


ULASAN | Najib, Najib, Najib, Najib…itulah yang meniti dibibir bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. 


Sama ada beliau “alergi” dengan Datuk Seri Najib Razak, ataupun masih risau dengan populariti Ahli Parlimen Pekan itu. Hanya beliau mengetahuinya.


Banyak kali nama bekas perdana menteri keenam itu dipetik Mahathir, baik dalam tulisannya, ucapannya ataupun apa juga perkara “buruk” baginya, semua dikaitkan dengan Najib.
Bahkan, ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang juga dikaitkan dengan Najib.


Melihat kepada kejatuhan kerajaan PH selepas Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin menbawa keluar parti itu daripada PH. Ramai menjangkakan yang serangan Ahli Parlimen Langkawi akan beralih kepada Perdana Menteri.
Namun, hakikatnya tidak begitu, naratif dan serangan Mahathir terus dihalakan kepada Najib. Selagi Najib tidak dipenjarakan barang kali Mahathir tidak akan tenang.


Begitu juga dengan anak Mahathir, Mukhriz. Kejatuhan beliau sebagai Menteri Besar Kedah buat kali kedua juga “disebabkan Najib”.
Kalau melihat pada tulisan dan serangan Mahathir terhadap Najib, ini bermakna Najib “masih power” dan mempunyai kekuatan politik untuk membuat kemunculan semula.


Namun, sekiranya serangan dihalakan terhadap Najib sekadar naratif ataupun taktik untuk menarik sokongan rakyat kepadanya, ia adalah satu langkah yang silap.
Sokongan rakyat terhadap Najib sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan selepas PRU14 cukup berbeza. 
Bahkan, hari ini netizen sudah tidak segan silu untuk mengkritik negarawan itu jika beliau menyerang Najib.


Serangan-serangan Mahathir terhadap Najib boleh juga dilihat sebagai cubaan untuk “menjinakkan” bekas Presiden Umno itu.
Meskipun BN tewas dalam PRU14 lalu, namun Najib masih menjadi ancaman kepadanya selagi hukuman tidak dijatuhkan terhadap Najib yang kini berdepan pertuduhan di mahkamah.


Oleh itu serangan perlu terus dihalakan kepada Najib dan mencari sebaik mungkin peluang untuk menanam kebencian rakyat terhadap Najib.
Najib bukan saja perlu dijinakkan Mahathir, malah perlu dikurung di dalam sangkar daripada membiarkannya “terbang bebas”.


Ketika di dalam PH, Mahathir telah berjaya menjinakkan seteru politiknya lebih 2O tahun, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah, liciknya Mahathir beliau bukan saja berjaya menjinakkan Anwar, tetapi juga berjaya menafikan Ketua Pembangkang itu daripada menduduki kerusi Perdana Menteri buat kali kedua.
Walaupun beliau menang atas tiket parti yang diasaskan Anwar.