Kapten bas terima anugerah cemerlang

Kapten bas terima anugerah cemerlang

Wan Faizal Ismayatim

Izan Shah Samsuddin, kapten bas perantara Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) yang tular kerana memberi bantuan kecemasan kepada penduduk Taman Bangi, Kajang ketika banjir kilat baru-baru ini, menerima anugerah khidmat cemerlang.

Pearl Award itu disampaikan Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman kepada Izan Shah di ibu negara, hari ini.

Izan Shah Samsuddin menerima Pearl Award yang disampaikan Pengerusi Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Dalam kejadian banjir kilat itu, Izan Shah, 33, yang berasal dari Sabah, memandu bas nombor laluan T461 menghala ke Hab MRT Kajang.

Semasa melalui Taman Bangi, sekumpulan penduduk melambai-lambai tangan ke arah bas perantara MRT yang melalui kawasan tersebut.

Paras air ketika itu tmmencecah paras lutut dan kenderaan ringan tidak boleh lagi melalui kawasan tersebut.

Izan Shah yang telah tiga tahun berkhidmat dengan Rapid Bus Sdn Bhd, nekad memberhentikan bas setelah melihat penduduk mengusung mangsa banjir yang terlantar sakit di atas pengusung.

Mangsa terbabit dibawa menaiki bas hingga ke kawasan selamat sementara menunggu pasukan perubatan tiba.