Kapten ‘Marvel’ pulang ke gagang

Kapten ‘Marvel’ pulang ke gagang

Muhamad Radhi Mat Din yang memikul tugas Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) selepas menang tanpa bertanding dalam Kongres Luar Biasa (EGM) KFA 2020, baru-baru ini bukanlah nama asing dalam arena bola sepak tanah air, khususnya di Kedah.

Anak kelahiran Pokok Sena berusia 55 tahun pada 17 Julai ini hanya beraksi dengan skuad Hijau Kuning sepanjang 14 tahun kariernya dari 1986 hingga 2000, selain kapten paling lama dalam sejarah pasukan iaitu sembilan musim sejak 1991.

Radhi adalah enjin rasmi pasukan, tonggak tengah yang banyak mencatur permainan di era puncak Hijau Kuning dengan membantu Kedah memenangi Piala Malaysia pada 1990 dan 1993; Piala Sumbangsih (1991,1994); Juara Liga Divisyen 2 (1992); Juara Liga Divisyen 1 (1993) dan Piala FA (1996).

Nama Azmi Mahmud, Ahmad Sobri Ismail, Mohamad Ramlee, Lee Kin Hong, Tan Cheng Hoe, Nor Azam Ishak serta import dari Brazil, André Luís Almeida Do Nascimento Nascimento adalah antara sebahagian deretan pemain membentuk gandingan emas bersama Radhi.

Selain membolot semua piala dalam Liga Malaysia, Radhi adalah anggota skuad kebangsaan yang memenangi pingat emas Sukan SEA 1989, di mana Malaysia adalah tuan rumah.

Jasa Radhi untuk Kedah terlalu besar walaupun bersara sebagai pemain. Bergandingan bersama ketua jurulatih, Mohd Azraai Khor Abdullah dan bekas rakan sepasukan, Ahmad Sobri, trio jurulatih ini mencipta sejarah dalam arena bola sepak tanah air.

Gandingan mereka membawa Kedah meraih gelaran ‘Double Treble’ dengan merangkul tiga kejuaraan utama iaitu Piala Malaysia, Piala FA dan Liga Super dua musim berturut-turut iaitu 2006/07 dan 2007/08.

Radhi juga secara umumnya diketahui aktif dalam berpolitik, di mana beliau pernah diumumkan calon PAS bagi Parlimen Pokok Sena pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu. Beliau kini menganggotai Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Kedah bagi sesi 2019/2021.

Setelah ‘hilang’ beberapa ketika dalam bola sepak, nama Radhi menjadi sebutan peminat Hijau Kuning untuk kembali bersama KFA sebagai Setiausaha Kehormat susulan peletakan jawatan Asmirul Anuar Aris selepas kerajaan negeri bertukar kepimpinan pada 17 Mei lalu.

Selepas hampir dua bulan khabar angin mengenainya, Radhi akhirnya kembali bersama Hijau Kuning bukan sebagai Setiausaha Kehormat, sebaliknya Naib Presiden KFA pada 12 Julai lalu.

“Saya rasa ini satu tanggungjawab besar tetapi kita sama-sama pikul kerana ini pertama kali sejak saya meninggalkan pasukan kira-kira tujuh tahun lalu, kemudian apabila saya dilantik dalam pengurusan pasukan, satu benda yang agak baru buat saya.

“Insya-Allah saya ingat kita sama-sama berganding bahu untuk memastikan KFA terus cemerlang dan pastinya kita akan meletakkan KFA di tempat sasaran yang terbaik,” kata Radhi sebaik dilantik.