Kehilangan Ahmad Basri tiada ganti

Kehilangan Ahmad Basri tiada ganti

Bekas ketua jurulatih Kedah yang membawa pasukan itu meraih gelaran ‘Double Treble’, Mohd Azraai Khor Abdullah berkongsi kenangan bersama Bapa Pembangunan Bola Sepak Kedah, Allahyarham Datuk Paduka Ahmad Basri Akil.

Perkongsian di laman sosial Facebook miliknya itu bagi mengenang genap 12 tahun pemergian Allahyarham yang meninggal dunia pada 15 Julai 2008.

“12 tahun, hilang tiada ganti, Biar Jasa Jadi Kenangan. Al fatihah dedikasi buat Datuk Paduka Haji Ahmad Basri Akil yang meninggalkan kita pada tarikh 15 Julai 2008.

“Jasa arwah bagitu agung nilainya dalam kehebatan sejarah bola sepak Kedah Darul Aman,” kata Azraai.

Azraai yang melatih skuad Hijau Kuning dari 2004 sehingga 2009 turut memasukkan lirik lagu Biar Jasa Jadi Kenangan yang mana cetusan idea lagu sinonim dengan pasukan Kedah itu diilhamkan sendiri oleh Allahyarham.

Allahyarham adalah individu yang memainkan peranan besar dalam pembangunan bola sepak Kedah sejak pertengahan 1980-an hingga menjadikan Kedah sebagai pasukan digeruni.

Malah arwah adalah individu yang bertanggungjawab melantik Azraai dan percaya dengan kemampuan jurulatih tempatan itu sehingga membawa Kedah meraih ‘Double Treble’ pada musim 2006/07 dan 2007/08.

“Sehingga hari ini belum ada seorang tokoh yang boleh tandingi dedikasi perjuangan sepenuh jiwa dalam pembangunan bola sepak Kedah. Pencapaian bersejarah Double Treble sampai sekarang belum ada pasukan yang boleh tandingi,” kata Azraai satu ketika dulu.

Al-Fatihah… Kami di Malaysia Post mengucapkan salam takziah kepada keluarga arwah Ahmad Basri Akil dan semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.