Lagi kes ingkar kuarantin wajib

Nampaknya keputusan kerajaan memutuskan semua rakyat Malaysia dan warga asing yang tiba di negara ini untuk menjalani kuarantin wajib di pusat kuarantin disediakan adalah tepat.

Ini kerana, ketidakpatuhan arahan kuarantin wajib 14 hari di rumah semakin menjadi-jadi termasuk terbaharu tular seorang lelaki berada di sebuah restoran di Jalan Sungai Udang, Klang.

Lelaki itu dirakam memakai gelang pengesanan kuarantin Covid-19.

Lelaki berusia 55 tahun dari Setapak yang tular kerana berada di sebuah restoran walaupun memakai gelang pengesanan kuarantin Covid-19.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata polis menerima panggilan berhubung perkara itu pada jam 10.15 pagi sebelum tiba bersama penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Namun suspek tiada di lokasi dan pemilik restoran memberitahu dia ke klinik kesihatan untuk pemeriksaan lanjut, menaiki kenderaan rakannya yang bekerja di restoran berkenaan.

Suspek menjalani kuarantin di rumah dari 9 sehingga 23 Julai selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari India.

“Maklumat terkini yang diperoleh, lelaki berumur 55 tahun dari Setapak itu mendapatkan ujian saringan Covid-19 kali kedua di klinik kesihatan dan disahkan negatif.

“Suspek tidak sepatutnya berada di tempat awam memandangkan dia masih dalam status kuarantin sebelum ke klinik terbabit.

“Polis akan mengambil tindakan kompaun ke atas suspek dan restoran yang membenarkan suspek masuk diarah tutup serta merta,” katanya menerusi kenyataan.