Pesanan Akmal buat Luqman Hakim

Pesanan Akmal buat Luqman Hakim

Fitri Nizam

Pemain muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin kini menjadi harapan baharu bagi peminat bola sepak di negara ini untuk melihat anak tempatan mencipta nama di Eropah, susulan penyertaannya ke dalam pasukan KV Kortrijk di Liga Belgium.

Berkelana ke negara asing pada usia muda tentunya cabaran besar buat bekas pelatih Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu, terutama dari segi bahasa, cuaca, makanan serta budaya.

Bekas penyerang kebangsaaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli mungkin individu paling sesuai menitipkan pesanan dan nasihat, lantaran dia pernah merantau ke Perancis ketika seusia Luqman Hakim, lebih 20 tahun lalu.

Keratan surat khabar mengenai kehebatan bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal.

Akmal Rizal, kini penolong jurulatih Pulau Pinang berkata kontrak lima tahun ditandatangani Luqman Hakim adalah perkembangan positif kerana ia bukti negara memiliki pemain yang berkualiti.

“Apabila ke sana nanti, Luqman perlu menanam satu tekad iaitu tujuan sebenar beliau untuk bermain di Eropah. Pastinya sebagai pemain profesional seseorang itu mahu mencapai satu prestasi di peringkat tertinggi… jadi saya yakin beliau juga mahukan perkara sama.

“Dengan apa yang diinginkan Luqman, beliau perlu tanamkan kekuatan mental dan fizikal untuk cuba bersaing dengan pemain di Eropah. Saya yakin dengan apa yang dimilikinya beliau boleh berjaya di sana,” katanya kepada Malaysia Post.

Bekas penyerang Kedah itu berkata, tidak mustahil Luqman Hakim akan dapat mencapai prestasi terbaik sekiranya boleh mengekalkan disiplin tinggi serta berjaya mengikuti latihan yang diterapkan di sana.

Luqman Hakim boleh capai prestasi terbaik jika kekalkan disiplin tinggi.

Akmal Rizal yang pernah beraksi bersama FCSB Haguenau di Perancis berkata, kelebihan Luqman Hakim yang memiliki kepantasan, ketenangan serta kebolehan menjaringkan gol adalah aset yang boleh menjadikan pemain muda itu berjaya di Eropah kelak.

“Dia ada kepantasan yang tidak dimiliki pemain pertahanan di Eropah… itu perlu dijadikan aset penting untuk menewaskan mereka selain ketenangan dan kebolehan menjaringkan gol,” katanya.

Rizal Akmal (belakang, dua dari kiri) ketika beraksi bersama kelab FCSB Haguenau.

Selain itu, Akmal Rizal mahu pemain muda lain menjadikan kejayaan Luqman Hakim sebagai inspirasi dan batu loncatan untuk meraih peluang beraksi di Eropah atau di kelab Asia yang baik seperti di Jepun, Korea Selatan mahu pun Thailand.

“Tidak mustahil untuk kita bersaing jika ada keinginan dan keazaman tinggi, namun perlu kuatkan mental dan fizikal untuk hadapi pelbagai cabaran di sana.

“Komitmen yang tinggi diperlukan kerana kita ke sana sebagai pemain import jadi perlu sentiasa menunjukkan prestasi terbaik dalam setiap latihan dan perlawanan.

“Saya pasti selepas Luqman akan ada lagi pemain muda kita yang akan mengetuk pintu kelab di Eropah selepas ini,” katanya.

Pada 1999, pemain kelahiran Jitra, Kedah itu pernah direkrut oleh kelab Ligue 1, RC Strasbourg sebelum dipinjamkan kepada FCSB Haguenau.

Bersama FCSB Haguenau, Akmal tampil dalam 36 perlawanan liga dan menjaringkan 10 gol.