Sampai bila nak harap pemain naturalisasi?

Sampai bila nak harap pemain naturalisasi?

Fitri Nizam

Peluang diraih Luqman Hakim Shamsudin beraksi di Eropah, seharusnya menjadi titik tolak kepada pembangunan bola sepak negara, khususnya dalam kalangan anak muda tempatan.

Ia juga dapat mengurangkan kebergantungan skuad kebangsaan kepada pemain naturalisasi terutama jika Luqman Hakim berjaya membuka jalan buat pemain-pemain untuk turut sama berkelana ke Eropah.

Pandangan itu dilontarkan bekas pemain kebangsaan, Muhammad Juzaili Samion yang pernah meraih pengalaman berlatih bersama kelab Jerman, Mainz 05 dan Eintract Frankfurt menerusi inisiatif bekas jurulatih remaja negara, Holger Obermann.

Kini jurulatih skuad Piala Presiden Felda United, Muhammad Juzaili berkata apa yang penting semua pihak memberi sokongan kepada kepada pemain-pemain muda negara agar mereka lebih berani dan mahu beraksi di luar negara.

“Kita memiliki pemain muda yang berkualiti jadi sokongan harus diberikan kepada mereka kerana pada akhirnya mereka tetap akan berkhidmat untuk negara jika diperlukan kelak.

“Sampai bila kita nak bergantung kepada pemain naturalisasi saja?,” katanya.

Mengenai Luqman Hakim yang akan terbang ke Belgium untuk bersama kelab KV Kortrijk dalam masa terdekat, Muhammad Juzaili berkata semua pihak diharap tidak memberi tekanan kepada pemain muda berkenaan.

“Tak kiralah dia ke sana berbayar ke guna ejen ke, paling penting peluang menimba pengalaman bermain di luar negara.

“Peluang terhidang di hadapan aset muda itu lebih penting kerana di masa depan pasti kudrat dan pengalamannya ditagih skuad negara di peringkat lebih tinggi,” katanya.

Beliau juga berharap bola sepak tidak dipolitikkan sehingga memberi kesan negatif kepada seseorang pemain untuk pergi lebih jauh, terutama pemain muda.

“Peluang diberikan kelab Eropah itu sepatutnya menjadi titik tolak kepada pembangunan bola sepak negara untuk terus berkembang dan membuktikan pemain kita juga mampu bersaing di peringkat lebih tinggi,” katanya.

Ditanya cabaran yang bakal dihadapi pemain muda yang beraksi di luar negara seperti Luqman Hakim, Muhammad Juzaili berkata keadaan sekarang pasti amat berbeza berbanding ketika beliau berkelana ke Eropah 20 tahun lalu.

“Saya yakin tidak timbul isu faktor cuaca, keluarga mahu pun makanan seperti saya hadapi dulu, malah sudah pasti Luqman akan mendapat bantuan daripada pelbagai sudut termasuk untuk berkomunikasi,” katanya.