Suntikan semangat sebelum ke Belgium

Suntikan semangat sebelum ke Belgium

Muhammad Mustakim Ramli

Penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin menganggap pencalonannya dalam anugerah ‘Golden Boy 2020’ sebagai pemangkin semangat sebelum menyertai kelab Belgium, KV Kortrijk.

Luqman Hakim Shamsudin

Malah, pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu menyifatkan ia antara pengiktirafan besar dalam kerjayanya apabila sebelum ini turut tersenarai dalam 60 pemain muda terbaik dunia oleh portal antarabangsa, The Guardian.

“Sudah pasti ia menjadi suntikan semangat dan mungkin orang sana (KV Kortrijk) pun sudah tahu. Saya rasa lebih bersemangat, bukan untuk bangga diri atau besar kepala, tetapi ia menjadikan saya lebih bersemangat.

“Ini antara pengiktirafan yang paling besar sekali sebab membarisi semua pemain (muda) yang bagus dalam arena bola sepak (antarabangsa),” katanya seperti yang dilaporkan BH Online.

Bekas pemain Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang juga pemenang anugerah kasut emas Kejuaraan B-16 AFC 2018 itu turut menganggap pengiktirafan itu berkat doa keluarga, jurulatih dan seluruh rakyat Malaysia.

Luqman Hakim anggap pengiktirafan berkat doa keluarga

“Mak dan ayah sudah tahu mengenai perkara ini dan tentu mereka bangga tengok anak dia macam ini. Syukur Alhamdulillah, Allah bagi rezeki untuk saya (tersenarai).

“Saya sendiri pun rasa cukup bangga dan sangat gembira. Ia akan menjadi inspirasi untuk saya terus melangkah ke hadapan,” katanya.