Tok Mat: PRU awal tak semesti esok pagi

Tok Mat: PRU awal tak semesti esok pagi

Wan Faizal Ismayatim

Hujung tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun depan paling sesuai kerajaan Perikatan Nasional (PN) membubarkan Parlimen, seterusnya mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kata Datuk Seri Mohamad Hasan.

Timbalan Presiden UMNO itu berkata ini kerana ketika ini ‘mood’ rakyat amat baik terhadap pentadbiran kerajaan PN dan kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, terutama mengendalikan wabak Covid-19.

“Kita mesti ingat keadaan ekonomi negara amat tidak baik, bukan kerana (kerajaan) tak boleh urus dengan baik, tapi seluruh dunia macam itu berikutan Covid-19, banyak orang hilang pekerjaan, sekarang hampir 700,000 (rakyat) hilang kerja.

“Saya takut menjelang akhir (tempoh) moratorium (September ini), banyak lagi orang hilang kerja, syarikat akan tutup dan rumah kena rampas sebab tak dapat bayar.

“Jadi elok semasa kerajaan dapat banyak sokongan, rating kerajaan PN tinggi (buat PRU-15), itu pandangan saya,” katanya dalam temubual eksklusif bersama Malaysia Post di ibu negara, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu berkata PN harus mengambil kesempatan mengadakan pilihan raya awal ketika krisis dalam Pakatan Harapan (PH), terutama berhubung calon Perdana Menteri.

“PH pun tengah kelam kabut, sebelum (Datuk Seri) Dr Mahathir (Mohamad) dan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim cium mulut balik, elok kita buat pilihan raya, kita mesti ada strategi, itu maksud saya,” katanya.

Mohamad mengulangi pendiriannya bahawa pilihan raya perlu disegerakan bagi mengembalikan mandat kepada rakyat, sekali gus membolehkan kerajaan yang dipilih membawa dasar-dasar baharu bagi memulihkan semula ekonomi.

“Saya memang dari awal beri pandangan lebih baik semasa kerajaan PH tumbang, kita buat PRU untuk dapatkan semula mandat, tetapi bila parti setuju buat kerajaan pentadbiran.

“Jadi kita menyokong kerana memang hasrat UMNO nak melihat kerajaan PH ditunjangi kuat DAP mesti ditumbangkan kerana banyak bawa kemudaratan kepada negara, khususnya Melayu dan Islam.

“Tetapi untuk kita maju ke depan dan bangunkan negara, mesti dapatkan semula mandat daripada rakyat. Tak semesti saya kata kita buat pilihan raya awal maka PRU dijalankan esok pagi, kita lihat jangka masa sesuai sama ada hujung tahun ini atau awal tahun depan,” katanya.

Mengenai kenyataannya sebelum ini yang meminta Malaysia mengikut langkah Singapura mengadakan pilihan raya, beliau menjelaskan apa yang dimaksudkan adalah keberanian negara jiran itu mengadakan PRU ketika wabak Covid-19 masih direkodkan setiap hari.

“Di Singapura masih lagi tiga angka setiap hari, 200, 300 (kes baharu Covid-19), tapi mereka ada ‘political will’ mengadakan PRU. Korea Selatan, awal tahun ini di tengah-tengah Covid-19 yang merebak diadakan pilihan raya kerana mereka mahu kerajaan dapat mandat rakyat supaya boleh laksanakan dasar-dasar baharu.

“Ini khususnya apabila kita buat PRU, dapat pula majoriti selesa. Tambahan lagi dalam keadaan sekarang rakyat dah melihat prestasi 22 bulan kerajaan PH memang tak boleh pakai, tak boleh harap.

“Bukanlah saya tak cerdik sangat nak suruh ikut Singapura (pilihan raya awal), yang pandai komen tu saya katakan saya ni taklah bodoh sangat, saya sebut Singapura kerana mereka ada keyakinan dan ‘political will’ buat PRU semasa wabak Covid-19 masih ada. Tapi tak bermakna esok atau lusa (bubar Parlimen),” katanya.

Baru-baru ini, Mohamad dilaporkan berkata kerajaan PN wajar mengikut jejak Singapura membubarkan Parlimen bagi membolehkan PRU-15 diadakan, bagi memastikan kerajaan yang memerintah mempunyai mandat yang baik dan diyakini.

Beliau juga berkata, sejak Merdeka Malaysia tidak pernah berada dalam kedudukan politik yang sangat tidak stabil seperti mana sekarang.