Warga Bangladesh marah, tak setuju dengan Rayhan

Warga Bangladesh marah, tak setuju dengan Rayhan

Pekerja warga Bangladesh melahirkan rasa kesal terhadap rakan senegara, Md Rayhan Kabir kerana membuat kenyataan palsu terhadap Malaysia menerusi program dokumentari terbitan stesen televisyen antarabangsa, Al-Jazeera baru-baru ini.

Ketika ditemui Malaysia Post di sekitar tapak pembinaan di ibu negara, mereka menyatakan rasa tidak puas hati atas kenyataan terbabit sehingga menimbulkan imej buruk kepada warga Bangladesh lain.

Minar Hossain, 47, memberitahu sebagai warga asing yang mencari rezeki di negara ini, mereka perlu jujur untuk memudahkan proses bekerja dan jangan melanggar undang-undang Malaysia.

“Jika kita bercakap benar, tidak ada apa-apa masalah. Jika menipu pihak berkuasa tangkap dan masukkan kita ke penjara. Kalau itu berlaku ibu bapa dan keluarga di kampung susah kerana saya tak boleh kirim wang,” katanya yang sudah sembilan tahun bekerja di negara ini.

Aminur Rahman, 29, pula mempersoalkan perbuatan individu terbabit sedangkan dia menerima layanan yang baik sepanjang berada di Malaysia, khususnya majikan.

“Mengapa disebabkan kamu semua warga Bangladesh dipersalahkan? Di sini semua majikan saya sediakan dari segi makanan, telefon bimbit dan lain-lain keperluan.

“Kalau tidak ada permit, visa mestilah pihak berkuasa tangkap. Jika semua dokumen ada, tentu tiada masalah. Saya sendiri pernah ditahan untuk pemeriksaan namun semuanya baik kerana dokumen lengkap,” katanya yang berhasrat tinggal lebih lama di sini untuk mencari rezeki.

Seorang lagi pekerja warga Bangladesh, Matubbar Nayeem, 24, berharap jangan ada pihak membuat tohmahan sehingga mungkin akan menjejaskan pekerja asing lain yang mencari rezeki di Malaysia.

“Dia (Md Rayhan) datang negara ini untuk bekerja, saya juga mahu bekerja. Saya mahu hantar duit ke kampung jadi jangan buat perkara yang menimbulkan kemarahan orang Malaysia,” katanya.

Baru-baru ini Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memohon bantuan orang ramai mengesan lelaki Bangladesh dikenali Md Rayhan Kabir, 25, bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Pada 3 Julai lalu, Al Jazeera menyiarkan dokumentari berjudul Locked Up in Malaysia’s Lockdown dengan Md Rayhan dilihat mengkritik kerajaan Malaysia dan mendakwa wujud diskriminasi dalam mengendali kes Covid-19 membabitkan warga asing.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador sebelum ini mengesahkan JIM telah membatalkan permit kerja Md Rayhan dan oleh itu dia perlu menyerah diri sebelum diusir ke negara asal.

Lelaki berusia 25 tahun itu ditahan oleh sepasukan pegawai Unit Risikan Operasi JIM Putrajaya di Setapak, Kuala Lumpur pada jam 5.45 petang semalam.

MalaysiaPost

Komen