Zahir muncul, senyum dalam mimpi

Zahir muncul, senyum dalam mimpi

Nilam Oshman

“Zahir kerap datang dalam mimpi… hanya datang dan pergi semula. Bila ditanya ke mana, dia hanya tersenyum.”

Perkara itu dialami Mohd Fauzi Abdul Ghaffar, 46, bapa kepada Muhammad Zahiruddin Putra, kanak-kanak lapan tahun yang hilang di Bandar Seri Putra, Bangi, sejak 16 April tahun lalu.

Sama ada ia cuma mainan tidur atau suatu petunjuk, Mohd Fauzi percaya anak kelima daripada enam beradik itu masih hidup dan beliau tidak pernah putus asa mencari, walaupun buntu dalam merungkai misteri kehilangan Muhammad Zahiruddin.

“Dua lagi anak saya turut mimpi adiknya. Mereka tanya kepada Zahir ke mana dia menghilang? Tapi bila mereka nak ikut Zahir, pasti ada halangan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, baru-baru ini.

MOHD Fauzi Abdul Gahffar, 46 menunjukkan tempat terakhir yang beliau nampak anaknya, Zahiruddin Putra kepada Malaysia Post.

Muhammad Zahiruddin Putra yang mesra dengan panggilan Zahir dikatakan keluar rumahnya kira-kira jam 8 pagi untuk bermain bersama rakannya sebelum dilaporkan hilang.

Mohd Fauzi kemudian melaporkan kehilangan anaknya di Balai Polis Bangi, awal pagi keesokannya sebelum kejadian turut dihebahkan melalui Nur Alert.

Sehingga kini polis mengklasifikasi kes berkenaan sebagai orang hilang tanpa pembabitan sebarang unsur jenayah.

Mohd Fauzi Abdul Gahffar, 46 ketika menceritakan kehilangan anaknya, Zahiruddin Putra kepada Malaysia Post.

Bercerita lanjut, Mohd Fauzi berkata polis masih berhubung dengannya namun setakat ini masih tiaada maklumat dan petunjuk baharu.

“Selain hebahan di media sosial, kami mengambil inisiatif melakukan solat hajat, malah bermacam-macam jenis perubatan tradisional diusahakan, apa lagi saya juga pengamal perubatan tradisional.

Gambar Muhammad Zahiruddin Putra sentiasa dalam telefon pintar milik Fauzi untuk tatapan melepaskan kerinduan terhadap anaknya.

“Kebanyakan pengamal perubatan tradisional mendakwa anak saya berada berdekatan rumah, tak jauh, cari pokok besar. Sehingga tahap bercakap dengan pokok, tak kisahlah orang nak kata apa,” katanya.

Fauzi berkata, kadang-kadang tengah malam hingga subuh, dia akan bersendirian dan berzikir di beberapa lokasi di kawasan pangsapuri dengan berharap sesuatu keajaiban berlaku.

“Tapi lain pula yang jadi, pelbagai benda yang muncul seperti kelibat wanita bersama anak dan lembaga menyerupai wanita sedang memerhati tapi pada saat itu kita dah tak fikir apa.

“Kadang-kadang saya terdengar suara Zahir memanggil saya ‘abah, abah’, tetapi bila pandang tiada. Namun itu yang membuatkan saya terus mencari dan yakin anak masih hidup,” luahnya.

Bagaimanapun, Mohd Fauzi berkata jika benar Muhammad Zahiruddin sudah tiada, beliau berdoa agar jasad anaknya ditemui.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau terlihat Muhammad Zahiruddin boleh hubungi Mohd Fauzi di talian 013-2737828 atau 018-320 1341.