310 pengunjung pusat hiburan dikompaun

310 pengunjung pusat hiburan dikompaun

Ketika kes harian Covid-19 di negara ini kembali meningkat, ia tidak menghalang 310 pengunjung bersesak-sesak sambil berhibur di sebuah pusat hiburan di Jalan PJU 7/3 Mutiara Damansara, Petaling Jaya.

Aktiviti mereka bagaimanapun terbantut apabila premis itu diserbu dalam operasi oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, jam 11 malam tadi, menerusi Operasi Pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata semua 310 pengunjung iaitu 200 lelaki dan 110 wanita dikompaun RM1,000.

Mereka melakukan kesalahan mengikut Peraturan 11 (1), Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.7) 2020.

Katanya, polis turut menahan 10 lelaki warga asing berusia 25 hingga 30 tahun yang bekerja di pusat hiburan terbabit tanpa permit kerja sah.

FOTO ihsan Polis Daerah Petaling Jaya

Menurutnya, penjaga premis yang juga lelaki tempatan berusia 29 tahun turut ditahan kerana disyaki menggaji pekerja asing tanpa permit sah selain menjalankan operasi pusat hiburan tanpa lesen.

“Jumlah itu adalah yang tertinggi setakat ini membabitkan orang awam yang dikenakan kompaun kerana ingkar PKPP dalam tempoh satu malam.

“Polis Petaling Jaya akan melaksanakan tindakan lebih tegas termasuk menangkap mana-mana pihak yang didapati ingkar PKPP selepas ini,” katanya.