Covid-19: SOP PKP diperketatkan semula

Covid-19: SOP PKP diperketatkan semula

Kerajaan akan mengetatkan semula prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilonggarkan di bawah pelaksanaan PKP Pemulihan (PKPP).

Memetik laporan Bernama, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu diambil susulan kebimbangan peningkatan kes Covid-19 dalam negara bagi tempoh hampir seminggu ini.

“Secara dasarnya keputusan ini dipersetujui dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan PKP hari ini.

“Jawatan kuasa teknikal akan berbincang esok untuk memperincikan SOP dan akan dibentangkan pada mesyuarat menteri-menteri Isnin ini,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai individu yang melanggar kuarantin wajib di rumah, Ismail Sabri berkata, kerajaan memberi tempoh dua hari sehingga esok kepada 2,897 individu terbabit yang masih gagal menjalani ujian saringan Covid-19 kali kedua pada hari ke-13 kuarantin untuk berbuat demikian.

“Sekiranya mereka gagal berbuat demikian dalam tempoh dua hari ini, mereka akan ditahan, direman dan dihadapkan ke mahkamah.

“Tiada lagi kompromi, amaran dan nasihat kerana mereka boleh membahayakan nyawa orang lain. Kalau degil juga pada Isnin polis akan tangkap dan tahan mereka, tiada kompaun, charge (dakwa) di mahkamah terus,” katanya.