Kami perlu terima hakikat ini – Sathia

Kami perlu terima hakikat ini – Sathia

Ketua jurulatih Selangor, B Satianathan akur apabila skuad Gergasi Merah terpaksa melupakan Stadium Shah Alam apabila Liga Super bersambung, bulan depan.

Selangor menjadikan Stadium UiTM Shah Alam sebagai gelanggang mereka, susulan Stadium Shah Alam perlu melalui proses baik pulih.

“Mungkin ini nasib saya kerana musim ini, kami belum pernah dapat beraksi di laman sendiri dan sekarang Stadium UiTM akan menjadi stadium utama kami bagi baki saingan liga musim ini.

“Proses membaiki stadium itu akan mengambil masa dan kami perlu terima hakikat ini.

“Saya tidak berapa jelas dengan tempoh yang diberikan kepada Selangor dan buat masa ini, saya tidak tahu bila kami akan dapat menggunakan Stadium Shah Alam,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

Pengurus Selangor, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid semalak mengesahkan pasukan itu tidak dapat menggunakan Stadium Shah Alam dalam baki saingan Liga Malaysia 2020.

Ia disebabkan kerosakan pada bumbung yang perlu diperbaiki serta tidak melepasi piawaian ditetapkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Kapten Selangor, Taylor Reagan mengakui sedikit pelik apabila tidak dapat beraksi di Stadium Shah Alam kerana ia gelanggang keramat pasukan itu.

“Tetapi kami perlu akur dan memandang ke depan demi memastikan Selangor terus gah,” katanya.

Dalam pada itu, MFL mengesahkan Selangor memilih Stadium UiTM sebagai laman rasmi pasukan, manakala Selangor II akan beraksi di Stadium MBPJ.