Kerusi PRU15: Bersatu perlu ukur baju badan sendiri

Kerusi PRU15: Bersatu perlu ukur baju badan sendiri

Bersatu di minta nilai kekuatan parti itu terlebih dahulu sebelum berbincang isu pembahagian kerusi menjelang Pilihan Raya Umum-15 (PRU15) akan datang, kata Timbalan Pengerusi Umno Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Bekas Ahli Parlimen Pulai itu berkata, untuk berdepan pilihan raya Bersatu terpaksa mengharapkan sokongan dan bantuan jentera kempen Umno.

“Ahli mereka hendak jadi pekerja pilihan raya pun tak cukup, seperti ejen di pusat pengundian dan pengiraan,” katanya seperti dilapor The Malaysia Insight.

Katanya, Umno tidak mengalami masalah demikian kerana parti itu mempunyai jentera kempen dan bilangan pengundi yang lebih baik berbanding parti komponen lain dalam Perikatan Nasional (PN).

Walaupun bersama dalam gabungan tidak berdaftar itu, hubungan di antara Umno dan Bersatu dilihat tidak begitu kukuh dengan Johor menjadi satu daripada negeri yang kelihatan tegang.

Sebelum ini, seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Harapan (PH) pernah mendedahkan bagaimana gabungan itu hampir membentuk kembali kerajaan negeri apabila sebahagian wakil rakyat Bersatu bersedia untuk menarik balik sokongan kepada Umno.

Nur Jazlan berkata, formula pengagihan kerusi yang dipersetujui di peringkat atasan PN tidak sesuai dilaksanakan di Johor kerana di negeri itu tiada pengundi bagi kaum tertentu mendominasi.

Katanya, sekiranya pilihan raya diadakan, Umno akan mendapat lebih banyak undi berbanding dua lagi parti dalam PN.

Nur Jazlan menegaskan, Umno hanya bersedia menyerahkan sesuatu kerusi kepada Bersatu jika anggota parti kawasan tersebut bersetuju dan rela menghulurkan bantuan.

“Kecuali kawasan yang orang Umno sendiri nak bagi calon Bersatu dan setuju, contohnya Muhyiddin,” katanya.