MD Rayhan pertahan dokumentari Al-Jazeera

MD Rayhan pertahan dokumentari Al-Jazeera

Md Rayhan Kabir mempertahankan kenyataan dalam temu bual bersama stesen TV antarabanga Al Jazeera baru-baru ini.

Memetik laporan akhbar The Daily Star yang berpangkalan di Bangladesh, Md Rayhan berkata dia hanya bercakap mengenai diskriminasi terhadap Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati).

“Saya hanya mahu maruah negara dan migran seperti saya terjamin. Saya yakin semua pendatang dan Bangladesh akan bersama saya dalam isu ini,” katanya menurut laporan itu.

Semalam, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud mengesahkan penahanan Md Rayhan yang diburu pihaknya sebelum ini bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Beliau turut mengesahkan bahawa Md Rayhan akan diusir keluar dan disenaraihitam daripada memasuki Malaysia untuk selama-lamanya.

Terdahulu, Md Rayhan menjadi buruan selepas membuat dakwaan tidak berasas kononnya wujud diskriminasi kerajaan Malaysia dalam mengendalikan kes koronavirus (Covid-19) melibatkan warga asing.

Dakwaan itu diterbitkan menerusi sebuah dokumentari oleh Al Jazeera pada 3 Julai lalu dan susulan itu polis turut menyiasat mereka yang terlibat dalam penghasilan dan penyiaran dokumentari tersebut.