Melayu Islam ternanti bila PN bentang RUU355 – Amanah

Melayu Islam ternanti bila PN bentang RUU355 – Amanah

Polemik Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 2016 (RUU 355) kini bergema kembali bukan untuk diluluskan tetapi untuk digugurkan, dakwa Ahli Jawatankuasa (AJK) Parti Amanah, Faiz Fadzil.

Dakwanya, orang Melayu Islam ternanti-nanti bilakah kerajaan PN yang dianggotai PAS akan membentangkan RUU355 di Parlimen.

“Tetapi ia ternyata meleset dengan jawapan daripada Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuki Shaary bahawa RUU355 perlu selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Ketika mana hujah ini dibangkitkan dahulu, pakar undang-undang dilabel menentang RUU355, sehinggakan seorang ulama PAS bersikap takfiri mendakwa sesiapa yang menentang RUU355 akan ditanam di jirat Cina,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

ADUN Permatang Pasir itu turut menyoal, apakah perasaan ribuan orang Melayu Islam yang hadir ke Himpunan RUU355 pada 18 Februari 2017 di Kuala Lumpur yang ikhlas mahu melihat RUU itu diluluskan.

Katanya, apabila disoal tujuan RUU 355 ini adalah untuk pelaksanaan hukum hudud, PAS berdolak-dalik mendakwa ia bagi meningkatkan martabat Mahkamah Syariah. Kini, RUU355 yang dibawa PAS sebelum ini tinggal kenangan.

“RUU355 menjadi titik tolak perpecahan dalam PAS dan Pakatan Rakyat kononnya PAS serius mahu membentangkan pindaan kepada Akta 355 ini bagi meningkatkan hukuman jenayah syariah.

“Tetapi setelah enam bulan menjadi kerajaan, tiada apa-apa usaha kerajaan PN ke arah itu, sedangkan kerajaan PH melalui Menteri Amanah telah berjaya meluluskan Akta Profesion Guaman Syarie. Bukankah sebagai kerajaan, PAS lebih mudah membentangkan pindaan Akta 355 kerana sudah pasti disokong semua Ahli Parlimen PN termasuk MCA dan GPS Sarawak,” katanya