PGA rampas barangan seludup bernilai lebih RM300,000

PGA rampas barangan seludup bernilai lebih RM300,000

Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 Kuala Terengganu merampas pelbagai barangan seludup berjumlah RM359,089 dalam dua serbuan berasingan di Tumpat, semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 9 Kuala Terengganu, Superintendan Nor Azizan Yusof, berkata dalam serbuan pertama pihaknya berjaya merampas 1,691kg beras di sebuah stor simpanan penyeludupan di Kampung Kebit.

“Dalam serbuan itu, PGA turut merampas 75kg beras pulut dan kedua-dua rampasan itu berjumlah RM7,289,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nor Azizan berkata, dalam serbuan kedua pada jam 1 petang, pihaknya berjaya mengesan sebuah kenderaan jenis Toyota Unser yang berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan Masjid Kampung Simpangan selepas membuat pemantauan selama 20 minit.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut mengandungi 1,479 helai kain pasang yang disyaki cuba diseludup ke Thailand untuk jahitan manik.

“Nilai rampasan berjumlah RM 315,800 dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan di Rantau Panjang, Nor Azizan berkata pihaknya merampas daun ketum seberat 0.6 tan, sebuah motosikal dan kereta.

Katanya, ketika kejadian lima lelaki sedang memunggah bungkusan daun ketum ketika diserbu pasukan PGA.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan berjumlah RM93,700,” katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua kenderaan tersebut menemui bungkusan plastik yang mengandungi daun ketum.

Katanya, kesemua barangan rampasan termasuk kenderaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk tindakan lanjut.

Nor Azizan berkata, kes disiasat bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.