Rayhan disenarai hitam selama-lamanya

Rayhan disenarai hitam selama-lamanya

Muhammad Mustakim Ramli

Md Rayhan Kabir yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), semalam akan diusir keluar dan disenarai hitam daripada memasuki Malaysia untuk selama-lamanya.

Ketua Pengarah JIM Datuk Khairul Dzaimee Daud, berkata lelaki warga Bangladesh berusia 25 tahun itu ditahan oleh sepasukan Pegawai Imigresen dari Unit Risikan Operasi JIM Putrajaya di Setapak, Kuala Lumpur pada jam 5.45 petang, semalam.

“Kejayaan ini adalah hasil daripada risikan dan buruan berterusan selama dua minggu.

PIX IHSAN JIM

“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada pegawai-pegawai terbabit atas usaha dan komitmen mereka.

“Lelaki Bangladesh ini akan diusir keluar dan disenarai hitam daripada memasuki Malaysia untuk selama-lamanya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

PIX IHSAN JIM

Sebelum ini, JIM memohon bantuan orang ramai bagi mengesan Md Rayhan Kabir bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Pada 3 Julai lalu, Md Rayhan mengkritik kerajaan Malaysia dan mendakwa wujud diskriminasi dalam mengendali kes Covid-19 membabitkan warga asing seperti disiarkan Al Jazeera.