Terowong dasar laut: Guan Eng ‘luang masa’ 7 jam di SPRM

Terowong dasar laut: Guan Eng ‘luang masa’ 7 jam di SPRM

Bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng hari ini “meluangkan masa” lebih tujuh jam untuk soal siasat berhubung projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Menurut laporan Malaysiakini, Guan Eng ditemani oleh peguam RSN Rayer ketika berjalan keluar dari bangunan menuju kenderaan sebelum meninggalkan kawasan bangunan SPRM.

Kedua-dua mereka tidak berhenti untuk menjawab soalan media yang lama menunggu beliau di pintu masuk bangunan SPRM.

Setiausaha agung DAP itu tiba di ibu pejabat SPRM untuk disoal siasat sekitar jam 12:30 tengah hari tadi.

Pada 22 Julai lalu, Guan Eng yang juga bekas ketua menteri Pulau Pinang telah dipanggil ke SPRM bagi memberi keterangan.

Sebelum itu pada 30 Jun lalu SPRM menahan bekas pegawai tinggi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) bagi membantu siasatan terhadap elemen rasuah dalam projek terowong itu selain memanggil beberapa lagi saksi untuk direkod percakapan.

Julai lalu, SPRM berkata kertas siasatan bagi kes bernilai RM6.3 bilion itu sudah berada di peringkat akhir dan hanya memerlukan dua atau tiga minggu lalu sebelum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

SPRM telah menyoal siasat beberapa pegawai kerajaan negeri, termasuk ketua menteri Chow Kon Yeow dan exco-exconya.

Bekas pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Jeffrey Chew pada 1 Julai lalu direman empat hari bagi membantu siasatan itu.

Ketika projek itu dirancang pada 2011 dan 2012, Guan Eng bertugas sebagai ketua menteri dan Chew pula pegawai khasnya.