Armada: Nur Jazlan umpama ‘Dinasour politik’ yang akan merosakkan PN

Armada: Nur Jazlan umpama ‘Dinasour politik’ yang akan merosakkan PN

Aiman Hanif

Exco Armada Bersatu, Muzzammil Ismail menyifatkan pemimpin Umno Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed sebagai “Dinasour politik” yang akan merosakkan kerjasama Perikatan Nasional (PN).

“Jika ada lima orang macam Nur Jazlan maka terkuburlah kesepakatan PN yang kita semua bina di atas prinsip perikatan.

“Kenapa perlu membuat kenyataan yang boleh menimbulkan rasa tidak senang dan spekulasi jahat bagi kedua-dua parti.

“Sebagai pemimpin utama parti kita perlu menjadi ejen penyatuan dan meyakinkan rakyat dengan keupayaan mengurus tadbir kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Nur Jazlan dilaporkan meminta Bersatu menilai kekuatan parti itu terlebih dahulu sebelum berbincang isu pembahagian kerusi menjelang Pilihan Raya Umum-15 (PRU15) akan datang.

Bekas Ahli Parlimen Pulai itu berkata, untuk berdepan pilihan raya, Bersatu terpaksa mengharapkan sokongan dan bantuan jentera kempen Umno.

“Ahli mereka hendak jadi pekerja pilihan raya pun tak cukup, seperti ejen di pusat pengundian dan pengiraan,” katanya seperti dilapor The Malaysia Insight.

Katanya, Umno tidak mengalami masalah demikian kerana parti itu mempunyai jentera kempen dan bilangan pengundi yang lebih baik berbanding parti komponen lain dalam PN.

Mengulas lanjut Muzzammil berkata, Nur Jazlan seperti tidak bersyukur dengan apa yang ada ketika ini.

Katanya, pemimpin PN patut berusaha untuk bekerja kepada rakyat dan bukannya berkelahi sesama sendiri seperti kesilapan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

“Jika hal ini berterusan, PN terutama pemimpin seperti Nur Jazlan sepertinya tidak bersyukur dengan apa yang kita kecapi sekarang.

“Sepatutnya fokus kepada kerja dan bantu rakyat jika 22 bulan sebelum ini PH hanya sibuk berkelahi.

“Hari ini kita pula mengulangi kesilapan sama. Saya berharap pemimpin muda dalam PN perlu lebih agresif tonjolkan diri sebagai ejen atau pemimpin yang bekerja keras kepada rakyat berbanding mereka-mereka yang boleh digelar ‘dinasour politik,” kata Muzzammil lagi.