Guan Eng ke SPRM kali ketiga

Guan Eng ke SPRM kali ketiga

Selepas tujuh jam ‘berkampung’ di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sekali lagi hadir untuk meneruskan siasatan kali ketiga.

Guan Eng ditemani peguamnya, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer hadir ke ibu pejabat SPRM bagi memberi keterangan berhubung projek terowong dasar laut dilaksanakan kerajaan Pulau Pinang.

Semalam dan Rabu lalu, Setiausaha Agung DAP itu sudah dipanggil SPRM untuk membantu siasatan kes itu.

Pada 30 Jun lalu, SPRM menahan bekas pegawai tinggi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) bagi membantu siasatan terhadap dakwaan salah laku rasuah dalam projek terowong tersebut.

SPRM turut memanggil beberapa lagi saksi untuk direkod percakapannya.

Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan beberapa individu dilaporkan turut memberi keterangan kepada SPRM berhubung projek mega berkenaan yang membabitkan anggaran kos keseluruhan RM6.3 bilion.

Projek terowong sepanjang 7.2 kilometer itu yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai, adalah termasuk di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).