Guan Eng pengecut, bacul kata Najib

Guan Eng pengecut, bacul kata Najib

Muhammad Afiq

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyifatkan Lim Guan Eng sebagai pengecut dan bacul apabila gagal menyahut cabaran untuk “bersemuka” berhubung isu tuntutan cukai dikenakan terhadapnya.

Najib berkata, beliau mencabar bekas menteri kewangan itu untuk meneliti tuntutan dokumen cukai yang dibuat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

“Lim Guan Eng pengecut! Bacul. Untuk hari kedua dia sempat lagi nak cuba troll tentang isu cukai saya walaupun dia sedang dalam sesi soal siasat SPRM.

“Semalam saya cabar dia bersemuka dengan saya untuk meneliti dokumen-dokumen tuntutan cukai, dia tak jawab.

“Hari ini dia ulang lagi propaganda dia. Baiklah. Saya ulang cabaran dan penjelasan saya semalam,” tulis Najib di Facebooknya, petang tadi.

Terdahulu di Facebooknya, Guan Eng berkata tiada keperluan untuk Najib mencabarnya berhubung tuntutan cukai RM1.69 bilion.

“Najib cabar saya untuk buat live pasal isu dia tak bayar cukai RM1.69 bilion. Buat apa cabar saya, cabarlah keputusan mahkamah dan LHDN.

“Adakah Najib seorang patriot? Takkan dia lupa apa yang dia cakap dahulu, siapa yang mengelak bayar cukai dia PN – Pengkhianat Negara,” tulis Guan Eng.

Menjelaskan perkara itu, Najib berkata LHDN di bawah Kementerian Kewangan dan tuntutan yang dibuat kepadanya adalah ketika Guan Eng menjadi Menteri Kewangan dan Tony Pua pula penasihat untuk LHDN.

“Saya nak tanya dia kenapa dana yang disebut RM2.6bilion masih dikira sebagai pendapatan walaupun telah dikembalikan kepada penghantar 4 bulan kemudian.

“Saya nak tanya dia jika ini satu bentuk salah guna kuasa kerajaan untuk menekan lawan politik dan siapa yang terlibat.

“Saya nak dia jelaskan kenapa permohonan saya kepada panel rayuan cukai pada April 2019 untuk mempertikai tuntutan cukai ini tidak pernah dibenarkan walaupun ini adalah hak pembayar cukai di bawah akta cukai.

“Beranikah dia nafikan perkara-perkara di atas? Beranikah dia bersemuka dengan saya untuk bersama-sama meneliti dokumen-dokumen tuntutan cukai zaman dia ke atas saya secara live?,” soal Najib.

Pada 22 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan LHDN untuk penghakiman terus dalam saman tuntutan cukai berjumlah RM1.69 bilion ke atas Najib.

Keputusan itu bermakna Najib perlu membayar cukai berjumlah RM1.69 bilion kepada LHDN.

Penghakiman terus adalah apabila mahkamah membuat keputusan tanpa melalui perbicaraan penuh, iaitu antaranya tanpa mendengar keterangan saksi.