Lebih 800 individu jalani kuarantin di 6 stesen

Lebih 800 individu jalani kuarantin di 6 stesen

Nilam Oshman

Covid-19 | Seramai 839 individu yang pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa telah ditempatkan di enam stesen kuarantin di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Johor.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Noor Hisham Abdullah berkata mereka pulang dari 17 negara iaitu Indonesia, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Bangladesh, China dan Australia.

Kata, ia susulan semua rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dan warganegara asing yang masuk ke negara ini perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari di stesen kuarantin ditetapkan kerajaan, mulai Jumaat lalu.

“Mereka yang terlibat perlu menanggung sepenuhnya kos kuarantin termasuk kos ujian saringan Covid-19,” katanya menerusi kenyataan di Facebooknya.

Foto: Kementerian Kesihatan

Beliau berkata, mulai esok Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan menangkap dan mendakwa di mahkamah individu yang masih belum tampil untuk ujian saringan kedua pada hari ke-13 kuarantin di rumah.

“Indvidu yang terbabit diarahkan untuk menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang terdekat untuk melakukan ujian saringan kedua,” katanya.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata seramai 2,897 individu belum menjalani ujian saringan kedua pada hari ke-13 sesi kuarantin di rumah.

Katanya, mereka bakal dikenakan tindakan tangkapan dan didakwa di mahkamah mulai 27 Julai.