Muhyiddin masuk Umno: Ahli tentukan siapa presiden, kata Tajuddin

Muhyiddin masuk Umno: Ahli tentukan siapa presiden, kata Tajuddin

Tan Sri Muhyiddin Yassin dialu-alukan menyertai semula Umno jika beliau mempunyai hasrat berbuat demikian, kata Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Malah, Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata Muhyiddin boleh menjadi Presiden Umno jika mendapat sokongan ahli parti.

“Soal Presiden Umno terpulang kepada ahli Umno yang tentukan… bukan boleh seorang dua individu. Siapa boleh jadi presiden? Tak semestinya orang itu ini.

“Saya boleh jadi (presiden) kalau dapat sokongan, tapi setakat hari ini tak ada sokongan, mana boleh jadi. Kalau Tan Sri Muhyiddin dapat sokongan ahli Umno sebagai presiden, dia jadi presidenlah.

“Kalau Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi masih dapat sokongan, dia terus jadi presiden… tiada yang kekal dalam jawatan, terpulang kepada ahli parti,” katanya kepada media di PulauPinang hari ini.

Tajuddin berkata, pemilihan Umno akan diadakan pada tahun depan dan terpulang kepada ahli parti untuk memilih sesiapa saja memegang pelbagai jawatan.

“Tahun depan Insya-Allah ada pemilihan… sama ada kekal di jawatan itu, bergantung kepada ahli parti,” katanya.

Terdahulu beliau berkata, kemasukan Muhyiddin serta mana-mana bekas pemimpin parti itu ke dalam Umno semula adalah baik, seterusnya menyambung semula perjuangan yang ditinggalkan.

“Tak ada masalah, kalau Tan Sri Muhyiddin boleh masuk Umno semula, bagi saya, kita alu-alukan.

“Kita alu-alukan semua pemimpin yang dulunya Umno, sekarang pimpin parti lain setelah kejadian dan insiden yang terjadi sebelum ini sebabkan mereka terkeluar atau keluar daripada Umno, mereka orang Umno, orang kuat Umno dan pemimpin Umno,” katanya.

Tajuddin menambah, beliau pernah membuat kenyataan sama sebelum ini kerana kemasukan semula Muhyiddin ke dalam Umno akan menyelesaikan pelbagai masalah, antaranya tidak perlu lagi rundingan membabitkan parti berlainan.

Dalam temubual eksklusif bersama Malaysia Post baru-baru ini, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Umno boleh mengubah semula keputusan pemecatan Muhyiddin pada 2016 dan menerimanya semula ke dalam parti, jika beliau berhasrat untuk kembali.

“Kalau ada hasrat kembali kepada parti, kita boleh mengubah semula keputusan memecat beliau. Kami mengalu-alukan jika ada hasrat Tan Sri (Muhyiddin) hendak kembali ke Umno, lebih baik begitu.

“Beliau akan jadi Perdana Menteri yang didukung parti yang besar dan mempunyai ramai Ahli Parlimen, jadi lebih mudah dan lebih senang,” kata Mohamad.