Patriotisme, perpaduan kaum perlu jadi objektif utama PLKN baharu

Patriotisme, perpaduan kaum perlu jadi objektif utama PLKN baharu

Nurul Huda Abhar

Kerajaan perlu mengenal pasti objektif pembentukan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) terlebih dahulu sebelum membuat pengisian modul atau merangka silibus yang baharu.

Bekas Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil ini kerana apa yang lebih mustahak adalah nilai-nilai asas perlu ada dalam setiap individu menerusi pengisian yang bakal diterapkan, khususnya bagi melahirkan warganegara cemerlang.

Beliau seterusnya menyarankan dua objektif utama yang harus ditekankan jika PLKN diperkenalkan semula ialah semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat dan perpaduan antara kaum.

Katanya, dalam situasi negara sekarang paling utama adalah menyemai semangat patriotisme dan rasa sayang kepada negara.

“Seseorang individu itu tidak boleh lari dengan semangat patriotisme dan ketaatannya pada tanah air kerana itu ia perlu diterapkan di peringkat awal.

“Yang kedua terpenting adalah perpaduan. Jurang perpaduan yang luas tidak lagi relevan pada masa kini kerana negara kita jelas adalah negara majmuk.

“Rapatkan hubungan antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak agar tiada mana-mana kelompok yang tertinggal,” katanya ketika dihubungi Malaysia Post.

Menurut Abdul Hadi, penambahbaikan dari segi pengisian modul dan silibus PLKN perlu dimuatkan juga tentang sejarah negara dan institusi Perlembagaan agar dapat melahirkan jati diri warganegara yang mampan.

Cara pengajaran yang berkesan juga, katanya, boleh dipelbagaikan bagi membentuk kemahiran diri yang kreatif dan bersedia dalam menempuh apa juga cabaran.

“Dalam pengisian modul pula perlu dimasukkan sejarah negara dan erti kemerdekaan buat rakyat Malaysia. Kita perlu tahu dan ingat kesusahan pejuang dahulu yang berkorban untuk kemerdekaan.

“Boleh gunakan sistem pengajaran khas (special learning) semasa sesi pembelajaran. Perbincangan, perbahasan bercorak patriotisme boleh diterapkan. Dengan pelbagai isu globalisasi sekarang pada pendapat saya ini sangat membantu,” katanya lagi.

PLKN dimansuhkan pada tahun 2018 dan terdapat cadangan menggantikannya dengan program baharu yang dapat membentuk belia masa depan berwawasan dan tinggi nilai jati diri.

Baru-baru ini Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan ketika berucap di Dewan Rakyat memohon agar kerajaan menghidupkan kembali program dan agensi kerajaan yang dimansuhkan kerajaan terdahulu seperti PLKN, Biro Tata Negara (BTN) dan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA).

Minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata kerajaan akan memperkenalkan satu program baharu, bertujuan menyemai semangat patriotisme dalam diri rakyat, bagi menggantikan PLKN dan BTN.

Struktur baharu bagi program berkenaan sedang dimuktamadkan dan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat.