Pavithra, Sugu tutup saluran YouTube

Pavithra, Sugu tutup saluran YouTube

Pasangan sensasi YouTuber program masakan, S Pavithra dan M Sugu mengumumkan tiada lagi penglibatan bersama YouTube.

Dikatakan laman sosial berkenaan adalah penyebab pasangan ini berselisih faham, justeru mereka memadam kesemua 98 video yang diikuti lebih 785,000 pelayar di saluran ‘Sugu Pavithra’

Memetik laporan Sinar Harian, Sugu berkata, mereka mengambil keputusan untuk tidak lagi terlibat dengan sebarang perkara yang boleh meraih perhatian umum.

“Kami buat itu (padam video) kerana tak nak sebarang kaitan dengan YouTube itu lagi. Biar kami satu keluarga biasa sahaja.

“Ramai YouTuber masakan dan yang hebat-hebat dan bagus ada tetapi kenapa kami jadi tumpuan. Biar kami beri perhatian pada keluarga,” katanya.

Selain itu, beliau juga belum memikirkan lagi perancangan masa hadapan selepas tidak melibatkan diri dengan Youtube.

Sementara itu, Ibu Sugu, G Rajeswari, 55, mengharapkan hubungan anak dan menantunya itu dalam keadaan baik setelah mengharungi pelbagai kejadian sejak beberapa hari lalu.

“Saya ada mengikuti perkembangan mereka di televisyen dan harap mereka dapat harungi cabaran itu bersama-sama.

“Sebagai ibu, semestinya saya berasa bimbang dengan keadaan mereka,” katanya.

Semua video masakan dan aktiviti pasangan suami isteri itu di saluran YouTube ‘Sugu Pavithra’ telah dipadam kira-kira pada jam 7.30 malam.