Peminat kesal FAS promosi vape

Wan Faizal Ismayatim

Awal hari ini laman Facebook Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) memuat naik kenyataan mengenai kerjasama dengan sebuah syarikat yang menghasilkan produk rokok elektronik atau vape.

Dalam hantaran itu, FAS menyatakan melalui kerjasama itu peminat pasukan The Red Giants boleh mendapatkan produk tersebut dengan harga istimewa

Berikutan itu, peminat Selangor memberikan reaksi kurang senang dan kesal di ruangan komen.

Antaranya peminat menyatakan sebagai sebuah pasukan bola sepak, FAS seharusnya mempromosikan budaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat, apa lagi Selangor memiliki ramai peminat di usia remaja dan kanak-kanak.

Dengan mempromosikan produk rokok elektronik, ia mungkin mempengaruhi golongan remaja dan membimbangkan ibu bapa, di samping memberi imej tidak baik kepada FAS dan skuad Selangor.

Pada masa sama, langkah FAS itu mengundang reaksi daripada laman Facebook Public Health Malaysia yang mempunyai lebih 700,000 pengikut.

Menurutnya, langkah FAS mempromosi produk rokok elektronik adalah satu tindakan yang sangat serius dan wajar diberi perhatian.

“Selaku kelab bola sepak profesional mewakili negeri Selangor, organisasi The Red Giants perlu memastikan rakan kerjasama mereka bebas dari pengaruh buruk kepada masyarakat, khususnya kepada golongan muda dan remaja,” tulisnya.

Menurut laman sosial itu, tindakan bekerjasama dan mempromosikan rokok elektronik bagai mengulangi kesilapan lampau apabila syarikat rokok dibenar menaja pasukan bola sepak sebelum diharamkan oleh Kementerian Kesihatan bagi menghentikan promosi tembakau.

“Usah beri alasan keuntungan atau kepentingan ekonomi, kerana tanggungjawab sosial untuk pembangunan sahsiah dan kesihatan masyarakat wajar diberi keutamaan,” katanya.

FAS bagaimanapun didapati telah memadamkan hantaran berkenaan.