Peralihan kuasa: Anwar baru sedar pendirian Tun M

Peralihan kuasa: Anwar baru sedar pendirian Tun M

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa beliau hanya tahu pendirian Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung peralihan kuasa selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang.

Ketua pembangkang itu berkata, pada awalnya dia percaya bekas perdana menteri itu akan menyerahkan jawatan kepadanya seperti dirancang.

Jelasnya, Dr Mahathir pasti sedar rancangan Bersatu untuk membawa keluar parti itu daripada PH.

“Itu benar. Sekarang kita tahu. Pada masa itu kita tidak tahu… (Dr Mahathir) orang yang terhormat, kamu berikan komitmen secara terbuka, kita percaya kamu.

“Entah bagaimana, dia (Dr Mahathir) kata ‘tidak, tidak, tidak’ … Bukan itu yang saya maksudkan. Kamu perlu buktikan (sokongan majoriti) sendiri’,” kata Anwar dalam wawancara yang disiarkan Sin Chew Daily hari ini.

Dr Mahathir sebelum kejatuhan PH berulang kali menyatakan pendirian bahawa Anwar perlu membuktikan memiliki sokongan majoriti untuk menjadi perdana menteri.

Bekas pengerusi Bersatu itu bertanding menggunakan logo PKR pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan menandatangani perjanjian pada Januari 2018 yang mencalonkannya sebagai calon perdana menteri PH.

Perjanjian itu menyatakan beliau akan memberi laluan kepada Anwar bagi menggantikannya, tetapi tidak ada tarikh ditetapkan.

Isu peralihan ini menjadi titik fokus dalam pentadbiran PH selama 22 bulan yang berakhir pada Februari tahun ini.

Selepas PH tumbang, Bersatu pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersama Umno, PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan parti dari Sabah.

Dalam wawancara itu, Anwar berkata walaupun sekarang telah mengetahui hasrat dan niat sebenar Mahathir, beliau masih terbuka untuk bekerjasama dengannya.

Bagaimanapun beliau tidak akan menyokongnya sebagai perdana menteri lagi.

“Memaafkan adalah suatu yang mulia. Inilah yang pernah dikatakan oleh Confucius dan sesuai dengan ajaran Islam,” kata Anwar.

Mengenai dakwaan Mahathir bahawa Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memilih Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri.

Anwar mengatakan beliau percaya naratif ini tidak benar: “Itu versi Mahathir. Saya percaya Lim.”