PKP semula jika kes naik tiga angka

PKP semula jika kes naik tiga angka

Kerajaan tidak teragak-agak melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jika kes positif harian Covid-19 meningkat kepada tiga angka, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Kanan (Keselamatan) itu berkata kerajaan tiada pilihan melainkan menguat kuasakan semula PKP sekali gus mengehadkan pergerakan orang awam jika kes terus meningkat.

Katanya, sudah empat hari berturut-turut kes positif Covid-19 meningkat dan berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ia disebabkan kealpaan sendiri.

“Kita lupa apabila melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang akhirnya kes semakin meningkat.

“Kita berharap tindakan kita belum lagi terlewat dan SOP untuk Aidiladha akan diumumkan esok,” katanya dipetik Harian Metro selepas melawat anggota veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Wakaf Mek Zainab di Kota Bharu hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, setakat ini rentas negeri masih dibenarkan melainkan ada pengumuman lain esok.

“Apa yang membimbangkan Aidiladha nanti bila acara sembelih lembu, tiada jarak sosial dilakukan dan selepas itu majlis kenduri pula diadakan,” katanya yang turut memaklumkan pintu sempadan negara masih ditutup.