20 orang untuk seekor haiwan penyembelihan – Ismail Sabri

20 orang untuk seekor haiwan penyembelihan – Ismail Sabri

Muhammad Mustakim Ramli

Hanya 20 individu dibenarkan bagi seekor haiwan penyembelihan untuk ibadat korban sempena Aidiladha nanti, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, kerajaan memutuskan untuk mengehadkan tidak lebih 10 haiwan bagi masjid dan surau termasuk lokasi korban yang dibenarkan Pejabat Agama Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan.

“Had ini tertakluk kepada keluasan lokasi korban. Bagaimanapun, kerajaan menggalakkan agar ibadat korban dilakukan di rumah penyembelihan di bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (28 buah) dan rumah penyembelihan Ruminan Swasta yang dilesenkan ( 31 buah).

“Jumlah kehadiran sewaktu ibadat korban mengikut 20 orang untuk setiap ekor haiwan. Kalau ada lima ekor maknanya 100 orang,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Ismail Sabri berkata, pihak berkuasa akan menyemak semula dari segi pemantauan semua lokasi penyembelihan termasuk masjid, surau dan kawasan di bawah PBT.

“Waktu ibadat korban hanya boleh diadakan selama empat hari termasuk hari pertama Aidiladha, selepas solat Sunat Aidiladha dan tiga hari Tasyrik.

“Bagaimanapun, mengambil kira Aidiladha jatuh pada Jumaat, ibadat korban digalakkan untuk dilakukan pada hari kedua dan dua hari Tasyrik,” katanya.

Bagi jamuan di rumah, beliau berkata, jumlah kehadiran tidak boleh melebihi 20 orang pada satu-satu masa.