Adun Padungan keluar DAP

Adun Padungan keluar DAP

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Padungan di Sawarak, Wong King Wei mengumumkan keluar DAP) semalam.

Susulan keputusan itu, beliau tidak akan mempertahankan kerusi DUN Padungan pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12).

Kin Wei berkata, beliau hilang keyakinan dan kecewa dengan DAP Sarawak, khususnya berkaitan janji kepada rakyat, lapor Sarawak Voice.

“Saya berasa perit apabila mengingatkan DAP… Dalam tempoh 22 bulan di bawah Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara, apa yang kami katakan dan janjikan di hadapan rakyat tidak ditunaikan.

“Sekiranya kami ingin membawa semula idea dan impian bahkan janji, kredibiliti DAP akan dipersoalkan.

“Sekiranya kami kembali kepada apa yang kami mulakan dengan integriti dan keikhlasan, nampaknya banyak yang DAP perlu jelaskan kepada pengundi,” katanya menerusi kenyataan.

Kin Wei juga mengakui tidak gembira dengan mainan politik DAP yang hanya melancarkan serangan kepada lawan.

“Ketika DAP menjadi pembangkang, kami buat banyak serangan… apabila menjadi gabungan pemerintah, kami masih melakukannya.

“Politik Sarawak memerlukan sikap positif sekiranya kita ingin melihat negeri maju ke depan,” katanya.

Beliau juga menyatakan rasa kecewa terhadap tindakan kepemimpinan DAP untuk bertanding di Dun Batu Lintang pada PRN-12, yang sepatutnya ditandingi PKR.

“Mengapa melakukan begini dengan sekutu sendiri,” katanya.